
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA menerusi penyertaan Bahagian Arkib Universiti diumumkan sebagai penerima Safety Excellence Premier Award dalam Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MSOSH Ke-43 Tahun 2025 bagi kategori MSOSH-IKS, Awam & Swasta. Penganugerahan berprestij ini berlangsung pada 13 November 2025 (Khamis) bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), sekali gus mengiktiraf kecemerlangan PTAR dan Bahagian Arkib Universiti dalam melaksanakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) yang cemerlang dan berterusan.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden CUEPACS, Dato’ Dr. Hj. Adnan bin Mat, dan diterima oleh Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan bagi mewakili Jabatan Perpustakaan. Turut hadir memberikan sokongan ialah Tuan Haji Ahmad Hilmi bin Rahmat@Abd Rahman, Pengarah Bahagian Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pembangunan UiTM Shah Alam. Kehadiran ini mencerminkan sokongan padu dan kerjasama padu antara jabatan dalam memperkukuh budaya keselamatan di UiTM.
Pengiktirafan ini menjadi bukti komitmen Bahagian Arkib Universiti, Jabatan Perpustakaan UiTM dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan sejahtera, di samping memperkasa budaya OSH yang proaktif, sistematik dan berimpak. Ia turut menyokong aspirasi UiTM ke arah kecemerlangan operasi serta kesejahteraan seluruh warga universiti, menjadikan kejayaan ini bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga simbol dedikasi Arkib Universiti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan selamat kepada komuniti kampus.
Kejayaan ini sekaligus mencipta sejarah dengan pengurusan Arkib pertama yang berjaya memperoleh pengiktirafan ini.