
Sempena memperingati dua (2) dekad penubuhan UiTM Kampus Bandaraya Melaka, satu kunjungan hormat telah diadakan oleh delegasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam pada 15 April 2026. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan sejarah penubuhan serta perkembangan UiTM Kampus Bandaraya Melaka melalui projek Wawancara Khas Sejarah Lisan yang dilaksanakan sebagai sumber rujukan rasmi universiti.

Delegasi tersebut diketuai oleh Penolong Rektor Kampus Bandaraya Melaka, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurazree bin Mahmud bersama Ketua Pustakawan Kanan, Encik Norhazlan Nordin serta staf Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Melaka. Sesi ini menjadi platform penting dalam merakam pengalaman, pandangan dan kenangan tokoh yang terlibat secara langsung dalam pembangunan pendidikan tinggi di Negeri Melaka.

Dalam wawancara tersebut, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam telah berkongsi pelbagai pandangan berkaitan perkembangan pendidikan tinggi di Melaka serta peranan UiTM dalam melahirkan modal insan berkualiti, memperkasa pembangunan ilmu dan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negeri. Perkongsian ini menjadi bukti penting dalam memahami perjalanan dan sumbangan UiTM kepada masyarakat serta pembangunan negeri.

Inisiatif pendokumentasian ini diterajui oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya yang berperanan sebagai pusat rujukan strategik dalam pengumpulan, pendigitalan dan pemeliharaan bahan sejarah institusi. Rakaman audio visual dan transkrip rasmi hasil wawancara ini akan disimpan sebagai sumber rujukan primer bagi Arkib UiTM untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Selain menjadi usaha pemeliharaan sejarah, sesi ini juga merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan besar tokoh-tokoh penting dalam pembangunan UiTM di Negeri Melaka. Kunjungan hormat ini memperlihatkan komitmen UiTM dalam memelihara warisan institusi, memperkukuh hubungan strategik dengan kepimpinan negeri serta memastikan legasi kecemerlangan universiti terus diwarisi.

Menghargai legasi, merakam sejarah dan membina masa depan merupakan aspirasi utama dalam usaha ini, agar sejarah penubuhan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya terus hidup dalam memori institusi dan menjadi inspirasi kepada warga universiti pada masa hadapan. Ikuti sejarah perasmian dan legasi kecemerlangan kampus ini di pautan UiTM Kampus Bandaraya Melaka.
