

serta Naib Canselor UiTM,Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, Penasihat Undang-Undang UiTM, Profesor Dr. Hartini Saripan bagi lawatan rasmi di Nagoya, Jepun.
DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Nagoya, Jepun bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga merupakan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM). Keberangkatan Duli-Duli Tuanku adalah bagi memenuhi undangan UiTM untuk menyertai Program Kerjasama Strategik dalam pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub (TPS Ceramic Hub). Inisiatif ini bakal direalisasikan melalui kerjasama dengan institusi serta industri seramik di Wilayah Aichi dan Gifu, Jepun, yang terkenal sebagai antara pusat utama industri seramik dunia dengan sejarah dan tradisi penghasilan karya berkualiti tinggi.Sepanjang program tersebut, Duli-Duli Tuanku diiringi oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibbudin, Penasihat Undang-Undang UiTM, Prof. Dr. Hartini Saripan, serta barisan pensyarah kanan daripada Jabatan Seramik Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik bagi memperkukuh pembangunan bidang seni seramik di Malaysia serta memperluas jaringan kerjasama akademik dan industri di peringkat antarabangsa, khususnya melalui pendedahan terhadap teknologi, inovasi dan amalan terbaik industri seramik di Wilayah Aichi dan Gifu, Jepun, yang terkenal sebagai pusat utama seramik dunia, seterusnya menjadi asas penting dalam pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub di Universiti Teknologi MARA sebagai pusat kecemerlangan yang mengintegrasikan pembangunan artisan dan industri kreatif, penyelidikan bahan dan teknologi seramik, pendidikan seni dan reka bentuk serta pelancongan budaya dan warisan bangsa.

Pada hari pertama lawatan, Duli-Duli Tuanku berkenan berangkat melawat Noritake Garden, iaitu sebuah kompleks budaya dan industri yang signifikan dalam mempamerkan sejarah perkembangan serta evolusi seramik Noritake sejak penubuhannya. Lawatan tersebut turut merangkumi kunjungan ke Noritake Museum, pusat kraftangan, studio reka bentuk serta taman budaya yang memperlihatkan integrasi menyeluruh antara industri seramik, inovasi reka bentuk dan pelancongan budaya. Sepanjang lawatan, Duli-Duli Tuanku turut diberi taklimat mengenai proses penghasilan seramik, pendekatan inovasi reka bentuk serta usaha pemeliharaan warisan yang dilaksanakan oleh pihak Noritake dalam memastikan kelangsungan industri tersebut di peringkat global.


Pendekatan holistik yang dipamerkan melalui kompleks ini dilihat berpotensi besar untuk dijadikan rujukan dan model dalam pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub (TPS Ceramic Hub) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya dalam memperkukuh hubungan antara warisan, kreativiti dan pembangunan industri. Selain itu, elemen penggabungan antara aspek pendidikan, penyelidikan, industri dan pelancongan budaya yang diketengahkan turut memberi inspirasi kepada pembangunan ekosistem seramik yang lebih mampan, berdaya saing serta berimpak tinggi kepada pembangunan ekonomi kreatif negara.



Selain itu, Duli-Duli Tuanku turut berkenan berangkat melawat Nagoya Castle. Dalam lawatan tersebut, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mengenakan pakaian tradisional wanita Jepun, iaitu kimono.


Di Nagoya, Jepun, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin telah berkenan berangkat ke Pusat Teknikal dan Institut Reka Bentuk Seramik yang terletak di bandar Tajimi, wilayah Gifu. Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku telah disambut oleh Datuk Bandar Tajimi, Takayuki Takagi. Institut tersebut merupakan sebuah pusat penyelidikan utama dalam bidang seramik moden di Jepun, yang berperanan penting dalam melahirkan pakar-pakar industri seramik.

Sepanjang lawatan, Duli-Duli Tuanku dibawa meninjau bengkel seramik serta melihat hasil karya pelajar. Baginda juga berpeluang bertemu dengan artis seramik tersohor Jepun, Harumi Nakashima.Lawatan kemudiannya diteruskan ke Aichi Prefectural Ceramic Museum yang menempatkan kemudahan pameran, penyelidikan dan pembangunan inovasi, di samping memelihara warisan seni seramik Jepun. Muzium ini terletak di Seto, sebuah kawasan yang terkenal sebagai antara pusat industri seramik utama negara tersebut.

Wilayah ini turut menempatkan beberapa pusat pengeluaran seramik terkemuka seperti Seto, Tokoname, Tajimi dan Toki, yang merupakan sebahagian daripada “Six Ancient Kilns of Japan” rangkaian pusat seramik tertua dan paling berpengaruh di Jepun. Bandar-bandar ini terkenal kerana keupayaan mereka mengekalkan tradisi pembuatan seramik sambil mengadaptasi inovasi reka bentuk, teknologi pengeluaran serta pembangunan industri kreatif. Lawatan ini juga dilihat selari dengan usaha pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub (TPS Ceramic Hub) yang dicadangkan untuk diwujudkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).





Lawatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke Nagoya, Jepun merupakan satu lawatan penanda aras ke arah pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub (TPS Ceramic Hub) di bawah kelolaan UiTM. Duli-Duli Tuanku turut diiringi oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibbudin, Penasihat Undang-Undang UiTM, Prof. Dr. Hartini Saripan, serta pensyarah-pensyarah kanan daripada Jabatan Seramik Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM.

Sepanjang lawatan tersebut, Duli-Duli Tuanku berkenan dibawa ke bandar Tokoname yang terkenal sebagai perkampungan seramik terbesar di Jepun. Dalam lawatan ini, turut dibincangkan potensi kerjasama antara bandar raya Shah Alam dan Tokoname.Di Tokoname, Duli-Duli Tuanku berkesempatan melawat bengkel tradisional pembuatan seramik di perkampungan berhampiran, di samping bertemu dengan pakar-pakar seramik dan tembikar Jepun termasuk artis generasi ke-4, Yuichi Hirano dan Masaaki Shibata.






Tuanku Sultan menzahirkan rasa kagum terhadap usaha berterusan dalam mengekalkan industri keusahawanan desa di wilayah tersebut, yang masih kukuh dengan penekanan terhadap penghasilan pakar-pakar dalam bidang seramik dan tembikar agar tidak pupus ditelan arus pemodenan. Baginda turut berharap agar pendekatan ini dapat dijadikan contoh oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Selangor serta Malaysia secara keseluruhannya. Selain itu, Duli-Duli Tuanku juga berkenan melawat muzium jubin, iaitu Inax Tile Museum dan Toilet Museum yang terletak di Tokoname.

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor bersama UiTM sempena lawatan rasmi ke Jepun di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada 5 April 2026.

