
Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperluas jaringan globalnya dengan menerima kunjungan delegasi terhormat dari Namangan State Technical University (NSTU), Uzbekistan. Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh hubungan antarabangsa serta memperluaskan kerjasama strategik di peringkat global.

Delegasi tersebut diketuai oleh Rektor, Prof. Oybek Karimovich Ergashev bersama Naib Rektor bagi Kerjasama Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Ilhom Abdurahmanov. Kehadiran mereka telah disambut mesra oleh Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), serta Prof. Datin Dr. Norazida Mohamed, Penolong Naib Canselor (UiTM Global).

Mesyuarat strategik ini telah diterajui oleh pasukan berdedikasi daripada Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak. Perbincangan yang berlangsung secara konstruktif ini akhirnya dimuktamadkan dengan pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) antara kedua-dua institusi. Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh hubungan institusi, di samping merancakkan pelaksanaan penyelidikan kolaboratif berimpak tinggi dalam pelbagai bidang kepakaran. UiTM menaruh harapan tinggi agar jalinan kerjasama ini akan terus berkembang secara dinamik dan mampan, sekali gus mewujudkan sinergi yang produktif antara kedua-dua universiti demi kecemerlangan akademik dan inovasi pada masa hadapan.
