
Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu terus dipelihara kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berperanan menjaga hak serta keistimewaan orang Melayu, Orang Asli dan anak-anak Sabah serta Sarawak, seumpama sebuah “universiti diraja”. Pro-Canselor UiTM merangkap Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa institusi itu masih relevan dalam usaha membangunkan anak bangsa dan tidak wajar digugat oleh mana-mana pihak yang cuba mengubah tujuan asal penubuhannya.
Menurut baginda, amanah tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam mempertahankan hak orang Melayu, Orang Asli serta anak-anak Sabah dan Sarawak selaras dengan Akta 173 (1A) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.“UiTM hendaklah terus dipertahankan sebagai institusi yang berteraskan amanah ini. Saya tidak berkenan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mengubah, menggugat atau memesongkan tujuan penubuhannya".
“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara kedudukan UiTM, di samping memastikan kepentingan sah kaum-kaum lain turut dipelihara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-104 di Shah Alam hari ini.Dalam istiadat berkenaan, baginda turut berkenan mengurniakan ijazah doktor falsafah kepada 280 penerima selain 10 graduan ijazah kepakaran klinikal.
Seramai 25,336 graduan peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah daripada 34 kampus cawangan seluruh negara akan menerima skrol masing-masing sepanjang istiadat konvokesyen yang berlangsung bermula hari ini hingga 23 Mei, manakala bagi Sabah pada 9 dan 10 Jun serta Sarawak pada 23 dan 24 Jun.Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah ke-7, Datuk Kee Yee Mustapha sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu. Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik dunia yang bukan sahaja mengorbankan nyawa, malah menjejaskan kestabilan ekonomi, sosio-politik dan kesejahteraan global.
Baginda bertitah, situasi tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, memahami keperluan negara dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan serta rasa tanggungjawab. “Saya menyeru seluruh rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan negara kita dan negara serantau supaya sentiasa dilindungi daripada kesan buruk akibat pergolakan yang berlaku,” titah baginda lagi. Pada masa sama, baginda turut menasihatkan para graduan agar tidak mengabaikan nilai adab, integriti dan tanggungjawab sebagai insan berilmu dalam mendepani kepesatan teknologi serta perubahan landskap ekonomi global.Menurut baginda, kemajuan sesebuah tamadun amat bergantung kepada perkembangan ilmu pengetahuan kerana semakin luas ilmu diterokai, semakin tinggi keupayaan sesuatu bangsa untuk maju dan berkembang.