
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam menerima kunjungan delegasi ASEAN sempena Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) yang berlangsung menerusi program rasmi CONSAL XIX 2025 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Seramai 69 peserta yang terdiri daripada delegasi tempatan dan antarabangsa, pegawai kanan perpustakaan serta sukarelawan CONSAL XIX telah menyertai lawatan ini yang bertujuan memperkukuh jaringan akademik dan profesional antara institusi perpustakaan di rantau Asia Tenggara.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan yang menzahirkan penghargaan atas pemilihan PTAR sebagai salah satu lokasi lawatan strategik bagi program berprestij ini. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah CONSAL adalah pada tahun 1996. Delegasi turut diberikan taklimat menyeluruh mengenai peranan dan fungsi PTAR dalam menyokong kecemerlangan akademik, pembangunan masyarakat serta kemajuan negara melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, perkhidmatan akses ilmu, pembudayaan membaca dan penglibatan komuniti.




Lawatan diteruskan dengan sesi tinjauan ke beberapa ruang utama PTAR antaranya Koleksi Khas Jawi, Ruang Perkhidmatan Pengguna, Galeri Tun Abdul Razak (GTAR) serta Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTUR) yang mencerminkan transformasi PTAR sebagai hab ilmu yang dinamik dalam era digital. Lawatan ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen PTAR dalam memperkasa bidang sains perpustakaan dan maklumat, malah membuka ruang kerjasama serantau yang lebih luas dalam pembangunan koleksi, integrasi ICT serta program literasi maklumat.
