Pertandingan Sudut Bacaan (Reading Corner) Di Semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) Universiti Teknologi Mara Shah Alam

Sukacita dimaklumkan bahawa Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam akan mengadakan Pertandingan Sudut Bacaan di semua Pusat Tanggungjawab Universiti Teknologi MARA. Penganjuran pertandingan ini selaras dengan lnisiatif Kecemerlangan Universiti melalui Amanat Naib Canselor 2019 iaitu merancakkan budaya membaca dengan memperbanyakkan ‘Reading Corner’ di UiTM. Untuk makluman, PTAR telah mernbentangkan Pelaksanaan Program Read@Uni Peringkat Universiti Teknologi MARA di dalam Mesyuarat Senat Ke-245 pada 9 Mei 2019 yang memberi penekanan kepada penglibatan semua Kampus, Fakulti dan lain-lain Pusat Tanggungjawab bagi program ini.

Sudut bacaan merupakan ruang yang disediakan dan dimanfaatkan sebagai perpustakaan mini yang selesa serta santai bagi menyemarakkan budaya membaca. Objektif utama pertandingan ini adalah bagi mengadakan satu sudut bacaan di lokasi strategik di setiap Pusat Tanggungjawab UiTM Shah Alam dengan dilengkapi kemudahan dan koleksi bahan bacaan. Adalah diharapkan dengan pengwujudan sudut bacaan ini nanti dapat menyokong Program Penggiatan Budaya Membaca untuk menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang tahun 2030.

1.0 PENDAHULUAN

Sudut bacaan (reading corner) merupakan ruang yang disediakan atau sudut kosong yang dimanfaatkan sebagai perpustakaan mini yang selesa dan santai bagi menyemarakkan budaya membaca. Melalui Amanat Naib Canselor pada 14 Mac 2019 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim melalui Inisiatif Kecemerlangan Ketiga bagi merancakkan budaya membaca di Universiti Teknologi MARA mengemukakan empat cadangan iaitu mengiatkan inisiatif Read@Uni, memperbanyakkan reading corner, menambah ruang bacaan 24 jam dan memperkasa Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) sebagai digital library. Selaras dengan Inisiatif kecemerlangan tersebut Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) berusaha merealisasikan amanat tersebut melalui transformasi dan lonjakan perkhidmatan sebagai salah satu penambahbaikan kemudahan bagi menyediakan ruang baharu yang selesa kepada pengguna.

2.0 OBJEKTIF

i. Mengadakan satu sudut bacaan di lokasi strategik dengan dilengkapi kemudahan dan koleksi bahan bacaan di semua Pusat Tanggungjawab UiTM Shah Alam

ii. Mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sudut bacaan yang sesuai untuk pembacaan.

iii. Menggalakkan penyertaan semua Pusat Tanggungjawab terhadap kempen Read@Uni Universiti Teknologi MARA.

iv. Menyokong Program Penggiatan Budaya Membaca untuk menjadikan Malaysia Negara Membaca menjelang tahun 2030.

3.0  SYARAT-SYARAT PERYERTAAN ‘READING CORNER’

a. Penyertaan terbuka kepada seluruh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Universiti Teknologi MARA kecuali Perpustakaan Tun Abdul Razak.

b. Pertandingan terbahagi kepada 3 kategori:
– Kategori Jabatan/ Bahagian/ Unit
– Kategori Fakulti/ Pusat Pengajian
– Kategori Kolej Kediaman

c. Mematuhi semua kriteria pertandingan yang melibatkan pemilihan lokasi, ruang, konsep, medium simpanan, susunan bahan, kemudahan, peralatan dan koleksi bahan bacaan.

d. Segala kos penyertaan dan pembangunan sudut bacaan adalah ditanggung sendiri oleh Pusat Tanggungjawab.

e. Pertandingan ini akan berlangsung selama tiga (3) bulan bermula 1 Jun 2019 sehingga 31 Ogos 2019.

f. Memaparkan slogan dan tema berikut: 
“with knowledge we lead”  –  #read@uni
#malaysiamembaca   –  #uitmmembaca

g. Keputusan para hakim dalam mengadili pertandingan adalah muktamad. Sebarang bantahan tidak dilayan.

h. Penyertaan pertandingan hanya dianggap sah apabila pihak urusetia menerima permohonan rasmi melalui kaedah berikut:
• Muatnaik maksimum lima (5) gambar sudut bacaan di media sosial Facebook Perpustakaanuitm: https://www.facebook.com/libraryuitm/ 
• Menyertakan maklumat yang jelas: 
– Nama Peserta (Pegawai bertanggungjawab)
– Lokasi dan alamat sudut bacaan
– Nama sudut bacaan
– No. Telefon

dan email kepada hazlan814@uitm.edu.my

“with knowledge we lead”
#readatuni #malaysiamembaca#uitmmembaca

* Sebarang pertanyaan dan maklumbalas sila hubungi:
 Jawatankuasa Read@Uni
 Perpustakaan Tun Abdul Razak
 Universiti Teknologi MARA
 40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. 
 Tel: 03-5544 3765
email : hazlan814@uitm.edu.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *