Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR),Hospital Al-Sultan Abdullah telah menerima kunjungan istimewa seramai 25 orang pelajar dari Fakulti Kedokteran Universitas Abdurrab (UNIVRAB), Pekanbaru, Riau, Indonesia dalam satu lawatan akademik yang penuh bermakna.
Lawatan ini diserikan dengan sesi taklimat interaktif mengenai perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan yang disampaikan oleh Puan Noor Azlin Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan (KUP). Turut sama membantu menjayakan sesi ini ialah Puan Nur Ira Wahidah Nasir, Puan Nur Fatini Ahmad Fazli dan Nur Athirah Binti Mohamad Sokhi.
Sepanjang sesi berlangsung, para pelajar berpeluang meneroka pelbagai sumber rujukan terkini, kemudahan digital yang komprehensif serta perkhidmatan sokongan akademik yang direka khas untuk memperkasakan pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang perubatan.
Lawatan ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu, malah menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa serta memupuk semangat kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar.
Terima kasih atas kunjungan yang penuh inspirasi ini. Semoga jalinan ukhuwah dan kolaborasi ini terus berkembang pada masa hadapan.

