Segamat, 13 Oktober 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menganjurkan satu sesi konsultasi berkaitan penggunaan LSEG Workspace bertempat di Bilik Pustakawan Kanan, PTDI 1. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Noredayu binti Rosli, Pustakawan Kanan PTDI, dengan tujuan memberi bimbingan secara langsung kepada pengguna berkenaan fungsi serta aplikasi platform LSEG Workspace dalam konteks pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
Seramai lima orang pelajar dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan telah menyertai sesi ini. Antara pengisian utama yang dijalankan termasuklah penerangan kaedah capaian, navigasi platform, teknik carian maklumat, penapisan data serta cara mengeksport hasil carian. Melalui sesi interaktif ini, peserta turut didedahkan dengan potensi platform tersebut dalam meningkatkan keberkesanan akses maklumat dan memperkukuh aktiviti akademik mereka.
Sesi konsultasi ini telah berlangsung dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada para peserta. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif perpustakaan dalam memperluas peranan pustakawan sebagai rakan strategik akademia, bukan sekadar penyedia maklumat tetapi juga pembimbing dalam penerokaan sumber digital dan penyelidikan berkualiti.
PTDI berhasrat untuk terus memperkasa program seumpama ini pada masa akan datang, sejajar dengan usaha membudayakan penggunaan sumber elektronik serta memperkukuh hubungan kerjasama antara perpustakaan dan fakulti demi kecemerlangan ilmu.
Hebahan media sosial : media sosial
