Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

PROKEP 2025 Hari Kedua: Perkukuh Hala Tuju, Penyelesaian Masalah dan Profesionalisme Kumpulan Pelaksana

Shah Alam, 30 September 2025 – Hari kedua Program Kepimpinan Pelaksana Perpustakaan UiTM (PROKEP 2025) berlangsung dengan penuh pengisian bermanfaat, menekankan kepentingan kumpulan pelaksana sebagai penggerak utama dalam mencapai kecemerlangan organisasi perpustakaan.

Townhall Bersama Ketua Pustakawan

Sesi Townhall bersama Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, bertemakan “Perpustakaan UiTM Menuju 2030”, membuka ruang strategik untuk membincangkan hala tuju organisasi. Beliau menekankan kepentingan inovasi, digitalisasi, serta kelestarian ilmu dalam memperkukuh peranan perpustakaan. Kumpulan pelaksana disaran untuk meningkatkan kompetensi, mentaliti dan daya tahan agar kekal relevan dan berdaya saing.

Problem Solving Hunt

Aktiviti Problem Solving Hunt yang dikendalikan oleh Encik Shahrul Hairy bin Shaharuddin menguji tujuh kumpulan peserta dalam menyelesaikan isu berkaitan operasi perpustakaan. Melalui kolaborasi, peserta diasah dalam analisis, komunikasi, serta kerja berpasukan bagi menghasilkan penyelesaian praktikal dan inovatif.

Etika Digital & Profesionalisme

Dalam sesi Etika Digital & Professionalisme di Era Media Sosial, Profesor Madya Dr. Suhaimee bin Saahar @ Saabar menekankan pentingnya warga perpustakaan menjaga etika digital. Beliau menyeru agar kumpulan pelaksana memanfaatkan media sosial sebagai medium perkongsian ilmu dengan berlandaskan integriti dan profesionalisme.

Komunikasi dan Keterampilan

Slot terakhir oleh Encik Muhammad Zulhusni bin Munir menyoroti kepentingan komunikasi berkesan dan keterampilan profesional sebagai cerminan organisasi. Beliau menegaskan bahawa penampilan dan cara berkomunikasi yang baik dapat membina keyakinan, kredibiliti serta kepercayaan terhadap Perpustakaan UiTM.

Hari kedua PROKEP 2025 membuktikan bahawa kumpulan pelaksana bukan sekadar pelaksana tugasan, tetapi juga agen perubahan yang menjembatani visi kepimpinan dengan tindakan di lapangan. Dengan penekanan kepada kepimpinan berdaya tahan, penyelesaian masalah, etika digital, dan keterampilan komunikasi, PROKEP 2025 mengorak langkah memperkukuh kompetensi warga perpustakaan menuju visi UiTM 2030.

Tags: ,