24 Oktober 2025 – Program Pembudayaan Ilmu: Jelajah Ilmu anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) dengan kerjasama Kelab Bachelor of Library Science (BliBS) UiTM Cawangan Kedah telah berakhir dengan jayanya setelah berlangsung selama dua hari di Lobi PSB. Penganjuran ini berjaya mencapai objektif utamanya dalam memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan warga kampus serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan dan sumber perpustakaan secara optimum. Kejayaan program ini turut mencerminkan komitmen PSB dalam menjadikan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran dinamik yang menyokong keperluan akademik dan penyelidikan.
Sepanjang penganjuran, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan informatif yang dikendalikan oleh kakitangan PSB bersama pelajar latihan industri. Aktiviti ini memberi pendedahan tentang kepentingan perkhidmatan perpustakaan digital serta panduan menggunakan sistem baharu yang diperkenalkan. Para peserta juga diberi bimbingan mengenai cara memanfaatkan sumber rujukan yang disediakan dalam bentuk maya, elektronik dan fizikal bagi meningkatkan kecekapan pembelajaran serta penyelidikan akademik.
Program dua hari ini yang berlangsung pada 23 dan 24 Oktober 2025 telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 309 orang peserta terdiri daripada pelajar dan staf UiTM Cawangan Kedah. Penganjuran dalam suasana santai dan mesra pengguna menjadikan Lobi PSB sebagai ruang interaksi ilmiah yang hidup dan terbuka, sekaligus mengubah persepsi terhadap pembelajaran formal kepada pendekatan lebih segar dan inklusif.
Secara keseluruhannya, Program Pembudayaan Ilmu: Jelajah Ilmu telah berjaya mencapai matlamatnya iaitu memberi pendedahan mengenai perkhidmatan digital perpustakaan, meningkatkan kefahaman pengguna terhadap sistem baharu, dan menggalakkan penggunaan sumber rujukan yang disediakan. Inisiatif bersama antara PSB dan Kelab BliBS ini wajar diteruskan sebagai platform strategik dalam menyemarakkan budaya ilmu serta memperkukuh jalinan komuniti pembelajaran di UiTM Cawangan Kedah.
