Shah Alam, 29 April 2026 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan Program Jelajah Ilmu Perundangan dengan tema “Menginspirasi Minda, Menyokong Pengajaran, Pembelajaran dan Penyelidikan”. Program ini merupakan anjuran bersama PTAR Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang UiTM serta Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM.
Program yang berlangsung di PTAR Undang-Undang UiTM Shah Alam ini telah dihadiri oleh Pengarah Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Timbalan-Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang UiTM, para pensyarah, pelajar Fakulti Undang-Undang serta warga PTAR. Kehadiran yang memberangsangkan mencerminkan komitmen tinggi warga universiti dalam memperkasa budaya ilmu dan penyelidikan.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran penyelidikan dalam bidang perundangan di samping memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan warga universiti. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada koleksi perundangan yang terdapat di PTAR Undang-Undang melalui sesi perkongsian ilmu oleh penulis serta tokoh kehakiman berpengalaman.
Antara pengisian utama program ialah sesi Latihan Pangkalan Data Dalam Talian CLJ Prime yang memberi pendedahan kepada pelajar Fakulti Undang-Undang mengenai kaedah pencarian sumber maklumat yang efektif dan penggunaan sumber digital dalam penyelidikan perundangan.
Program turut menampilkan Sesi Telaah Buku bertajuk The Malay Rulers: Their Position and Article 38(4) yang disampaikan oleh penulisnya, YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain daripada Institut Pemikiran & Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC). Sesi ini dikemudikan oleh Encik Noraiman Suhaidi bin Norizam daripada Kursi Institusi Raja-Raja Melayu. Sesi ini memberi kupasan berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam kerangka Perlembagaan dan berjaya menarik minat peserta untuk memahami aspek perundangan berkaitan institusi Raja-Raja Melayu secara lebih mendalam.
Selain itu, sesi Perkongsian Memoir Kehakiman oleh Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham, mantan Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang juga merupakan penyumbang buku PTAR telah turut menjadi tumpuan utama. Beliau berkongsi pengalaman luas dalam bidang kehakiman yang memberi inspirasi kepada para peserta, khususnya pelajar undang-undang. Moderator bagi sesi ini ialah Prof. Madya Dr. Faridah Hussain daripada Fakulti Undang-Undang UiTM.
Program ini turut diserikan dengan sesi lawatan ke Bilik Khazanah Perundangan yang terletak di aras 3 PTAR Undang-Undang. Bilik ini menempatkan koleksi bahan ilmiah hasil sumbangan tokoh dan penyumbang buku. Ianya menjadi inisiatif penting dalam mempromosikan penggunaan sumber rujukan perundangan dalam kalangan warga kampus.
Menariknya, program ini dilaksanakan secara hibrid iaitu secara bersemuka dan juga disiarkan secara langsung melalui platform YouTube dan Facebook rasmi Perpustakaan UiTM, sekali gus memperluas capaian kepada audiens yang lebih luas.
Secara keseluruhannya, Program Jelajah Ilmu Perundangan ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
