Sungai Petani, 2 April 2026 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Siri Telaah: Resensi Buku “PhD: The Amazing Journey Vol. 2” yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi perpustakaan. Program ini merupakan satu inisiatif bagi menyahut cetusan idea YAB Perdana Menteri Malaysia dalam membudayakan amalan membaca, memperkasa tradisi keilmuan serta menyediakan platform perkongsian dan perbincangan ilmiah dalam kalangan warga kampus.
Program yang berlangsung dengan penuh pengisian bermakna ini menampilkan Prof. Madya Dr. Sarah Sabir Ahmad sebagai penceramah (wacana), manakala sesi dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin (kemudi), Pustakawan Kanan Perpustakaan Sultan Badlishah selaku moderator. Kupasan buku yang disampaikan memberi penekanan terhadap perkongsian pengalaman dan perjalanan ilmu dalam penghasilan karya berasaskan penyelidikan peringkat PhD, yang merangkumi cabaran, inspirasi serta nilai- nilai ketekunan dalam menuntut ilmu. Huraian yang jelas, disokong oleh contoh serta pengalaman sebenar, berjaya memberikan pencerahan dan meningkatkan kefahaman para peserta mengenai kepentingan usaha berterusan dalam mencapai kecemerlangan akademik.
Melalui pendekatan resensi dan perbincangan interaktif, peserta bukan sahaja didedahkan kepada kandungan buku secara menyeluruh, malah turut memperoleh ilmu yang bermanfaat daripada wacana yang berilmu tinggi dalam bidang keagamaan. Sesi ini secara tidak langsung menyokong usaha perpustakaan dalam memperkasakan budaya membaca dan menjadikan buku sebagai medium utama penyebaran ilmu. Program ini juga selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan warga yang seimbang dari segi intelektual dan sahsiah.
Kejayaan pelaksanaan Siri Telaah ini membuktikan komitmen berterusan Perpustakaan Sultan Badlishah dalam membudayakan ilmu serta memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat rujukan dan perkongsian ilmu di peringkat universiti.
