Program AI-Lit: Smart Search for Smart Students Perkasa Kemahiran Carian Pintar Pelajar SMK Jengka Pusat
Jengka, 15 Oktober 2025 – Program AI-Lit: Smart Search for Smart Students anjuran Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama PRASITI telah berlangsung selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober 2025 di Bilik IT, Kampus Jengka. Seramai 67 pelajar dari SMK Jengka Pusat menyertai program berfokuskan kemahiran carian maklumat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sumber digital.
Hari pertama menyaksikan penyertaan 36 pelajar, manakala 31 pelajar hadir pada hari kedua program tersebut. Aktiviti pembelajaran dibahagikan kepada dua sesi utama setiap hari. Pada sesi pagi, Puan Muniratul Husna, Pustakawan, memberikan penerangan mengenai enjin pencarian serta teknik carian maklumat yang efektif bagi membantu pelajar menilai dan mendapatkan sumber yang sahih.
Sesi petang pula dikendalikan oleh Puan Nurfarawahidan, Pustakawan Kanan, yang berkongsi penggunaan ChatGPT sebagai alat sokongan pembelajaran, termasuk cara memanfaatkan teknologi AI untuk menjana idea, memahami topik akademik dan melakukan carian maklumat dengan lebih strategik.
Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh literasi maklumat pelajar sekolah menengah melalui pendedahan kepada teknologi AI dan platform digital. Inisiatif ini turut menjadi usaha berterusan Perpustakaan Al-Bukhari dalam menyokong pembangunan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar, selaras dengan keperluan pembelajaran masa kini.
