JENGKA, 12 Februari 2026 (Khamis) – Program AI dalam Pendidikan: Kemahiran dan Aplikasi untuk Guru telah diadakan pada jam 3.00 petang bertempat di Bilik IT, Perpustakaan Al-Bukhari dengan penyertaan seramai 45 orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2.
Program anjuran Perpustakaan Al-Bukhari ini merupakan satu inisiatif memperkasa literasi digital dalam kalangan pendidik, khususnya dalam aspek pembudayaan teknologi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan.
Objektif utama program adalah untuk memberi pendedahan kepada guru mengenai potensi AI serta aplikasi kreativiti digital dalam memperkayakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Melalui sesi refleksi yang dijalankan, para peserta menunjukkan minat serta kesungguhan tinggi dalam meneroka teknologi AI. Ramai dalam kalangan guru menyatakan bahawa program ini membuka ruang baharu dalam menghasilkan bahan PdP yang lebih menarik, mudah disediakan dan berupaya meningkatkan motivasi pelajar.
Sesi bimbingan telah dibahagikan kepada dua slot utama. Slot pertama disampaikan oleh Encik Khairul Ziad Hasbullah, Pembantu Pustakawan Tertinggi, yang memberi penerangan mengenai penggunaan Institutional Repository (IR). Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada fungsi IR sebagai platform penyimpanan dan pengurusan bahan ilmiah digital seperti artikel, kertas kerja, laporan penyelidikan serta bahan pengajaran. IR berperanan memudahkan capaian maklumat secara sistematik, meningkatkan visibiliti bahan akademik serta menyokong perkongsian ilmu secara lebih meluas.
Slot kedua pula dikendalikan oleh Encik Mohd Ikhsan bin Md Raus, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, yang membimbing peserta mengenai penggunaan AI dalam pendidikan termasuk aplikasi seperti ChatGPT. Sesi ini memberi pendedahan praktikal tentang bagaimana AI boleh membantu dalam penyediaan bahan pengajaran, penjanaan idea, pembinaan soalan serta penyusunan kandungan pembelajaran secara lebih efisien.
Kefahaman mendalam serta pengalaman kedua-dua penceramah dalam bidang pendidikan digital dan teknologi telah membantu peserta menguasai kandungan dengan lebih jelas dan praktikal. Program ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan guru untuk mengaplikasikan teknologi serta AI dalam proses PdP, selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

