Library News

Pertandingan Pembaca Bestari Daerah Klang 2025 Berlangsung Meriah di PTAR Shah Alam

Shah Alam, 5 September 2025 – Penilaian akhir Pertandingan Pembaca Bestari Daerah Klang 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 2 dan 3 September 2025 bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR),Shah Alam. Program ini dianjurkan oleh Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan (USTP), Pejabat Pendidikan Daerah Klang dan melibatkan seramai 105 peserta daripada 40 buah sekolah rendah dan menengah di daerah tersebut.

PTAR UiTM Shah Alam sekali lagi dipilih sebagai lokasi rasmi penganjuran, memperkukuh peranannya sebagai pusat pembelajaran yang aktif serta menyokong usaha melahirkan generasi celik ilmu.

Objektif Program
Pertandingan ini bertujuan membina tabiat membaca dalam kalangan murid, mencungkil bakat dan kreativiti berhujah melalui buku yang dibaca, serta melestarikan budaya pembacaan berkualiti secara berterusan.

Kategori Pertandingan
Pertandingan ini merangkumi empat kategori utama iaitu Sekolah Rendah (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) serta Sekolah Menengah (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris).

Barisan Juri dan Tenaga Pengajar
Selain 30 orang juri utama, tiga orang staf PTAR turut terlibat sebagai juri dan pengajar Literasi Maklumat (Bacaan Pantas), iaitu Puan Eza Eliana A. Wahid, Puan Siti Salwa Abd. Rahman, dan Encik Muhammad Azrul Nizam Abdul Rahman.

Program ini bukan sahaja mencungkil bakat berhujah dalam kalangan peserta, malah memperkukuh tabiat membaca dan menyuburkan budaya ilmu. PTAR terus menyerlah sebagai “Vibrant Centre of Learning” yang mendukung tagline “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”, seterusnya menghubungkan generasi muda kepada dunia pengetahuan dan pembacaan berkualiti.

Tags: ,