JENGKA, 25 September 2025 – Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Unit Pengurusan Ladang telah menganjurkan program “Jom Buat Terrarium” melibatkan seramai 69 kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun dari Tadika Didik Cahaya Mutiara dan Tadika Khalifah Cemerlang Little Caliph, Bandar Pusat Jengka.
Program yang berlangsung di Kampus Jengka itu bertujuan memberi pendedahan awal mengenai alam sekitar melalui aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman. Selain aktiviti utama iaitu membina terrarium, Perpustakaan Al-Bukhari turut menyertai penganjuran dengan mengendalikan satu slot khas yang memfokuskan kepada pembentukan kreativiti dan galakan membaca.
Dalam slot tersebut, peserta cilik terlibat dalam sesi mewarna beramai-ramai serta sesi membaca bersama yang dikendalikan secara santai dan interaktif. Aktiviti ini mendapat sambutan positif daripada kanak-kanak yang hadir, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan kondusif di perpustakaan.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengukuhkan kerjasama antara fakulti, perpustakaan dan komuniti setempat, tetapi juga menyokong usaha membentuk generasi muda yang mencintai alam sekitar serta mempunyai minat mendalam terhadap ilmu dan bahan bacaan.
Program “Jom Buat Terrarium” diharapkan dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang memberi impak positif kepada perkembangan kreativiti dan kesedaran alam sekitar.

