PTAR Alam Bina terus komited dalam memperkasakan kemahiran literasi maklumat menerusi penganjuran Minggu Kelas Literasi Maklumat yang sedang berlangsung dan akan diteruskan sehingga penghujung Mei 2026.
Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan keupayaan mencari maklumat secara efektif serta mengurus rujukan akademik dengan lebih sistematik melalui siri kelas yang dijalankan secara berperingkat. Sebagai sebahagian daripada program ini, satu sesi kelas telah diadakan pada 20 April 2026 (Isnin), dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang bertempat di Pusat IT, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Alam Bina, UiTM Shah Alam. Kelas ini melibatkan penyertaan seramai 24 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah. Penyertaan kelas ini turut dihadiri oleh pelajar daripada bidang- bidang lain seperti Pelajar bidang Ukur Bahan, Ukur Bangunan dan Pengurusan Taman, Fakulti Alam Bina. Sesi pembelajaran dikendalikan oleh Puan Hanani Binti Rojikin dengan membawakan topik “Explore on Searching Techniques”, yang memberi fokus kepada teknik pencarian maklumat secara strategik dan efektif menggunakan pangkalan data dalam talian. Pendekatan pembelajaran secara bersemuka yang interaktif diterapkan melalui demonstrasi, penerangan ringkas serta latihan praktikal. Para peserta turut didedahkan dengan teknik merangka kata kunci yang tepat, penggunaan strategi carian lanjutan serta kaedah menilai kesahihan dan kerelevanan sumber maklumat. Selain itu, program ini turut diperkukuhkan dengan modul pengurusan rujukan menggunakan aplikasi Mendeley, di mana pelajar diberi pendedahan tentang cara menyimpan, menyusun dan mengurus sumber rujukan secara sistematik. Peserta juga didedahkan dengan fungsi penting seperti penghasilan sitasi dan senarai rujukan (citation & referencing) secara automatik, sekali gus memudahkan proses penulisan akademik yang lebih tersusun dan profesional. Melalui pelaksanaan berterusan sepanjang Minggu Literasi ini, para pelajar dijangka bukan sahaja dapat menguasai kemahiran pencarian maklumat secara efektif, malah mampu mengurus rujukan dengan lebih cekap serta memanfaatkan sepenuhnya sumber digital perpustakaan dalam menyokong keperluan akademik mereka.
#PTARAlamBina #LiterasiMaklumat #BudayaIlmuDigital #PengurusanHartaTanah #Mendeley #ResearchSkills

