Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Resensi Buku Siri Telaah: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi dengan menampilkan syarahan bab pilihan bertajuk “Kejadian Manusia & Amalan Berdasarkan Yang Terakhir” pada 17 Disember 2025 (Khamis), bermula jam 3.00 petang bertempat di Ruang LCE (Bicara Ilmu), Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan 1 (Bangunan Lama).
Program ini telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Daud Ahmad, Kerani Tertinggi, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Perlis selaku wacana, manakala sesi dikemudikan oleh Khairil Izwan Hasan, Pustakawan Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan. Program ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, dengan penyertaan seramai 29 orang peserta secara atas talian.
Sesi pertama program memfokuskan kepada pengenalan buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi yang merangkumi latar belakang penulis, metodologi penulisan kitab, serta keistimewaan karya tersebut sebagai rujukan utama dalam memahami hadis-hadis teras Islam yang merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak.
Seterusnya, sesi kedua memberi penekanan kepada syarahan Hadis ke-4, yang antara lain membincangkan biografi ringkas perawi hadis iaitu Abdullah bin Mas‘ud RA, keistimewaan hadis tersebut, serta peringkat kejadian janin berdasarkan huraian hadis dan sokongan ayat-ayat al-Quran. Perbincangan turut menyentuh konsep celaka dan bahagia (al-Syaqiy dan al-Sa‘id) sebagai manifestasi ketentuan Allah SWT yang berkait rapat dengan pengakhiran amalan seseorang.
Melalui pendekatan tadabbur, penceramah turut menghuraikan hikmah kejadian manusia, aplikasi hadis dalam kehidupan seharian, serta inti pengajaran utama yang menekankan kepentingan keikhlasan, istiqamah dan kesudahan amalan sebagai penentu nilai sebenar kehidupan seorang Muslim.
Penganjuran program ini diharap dapat menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh kefahaman hadis dalam kalangan warga universiti serta masyarakat umum, di samping memanfaatkan peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu dan wacana intelektual berteraskan nilai Islam.
Untuk melihat kembali rakaman telaah ini, sila layari: https://www.youtube.com/watch?v=76brUan9nkg

