30/4/2026 / KHAIRIL IZWAN HASAN
Arau, 17 April 2026 – Program ReSearchLight Edisi 9 bertajuk “Rumah Fitnah Harta” telah berjaya dilaksanakan di Ruang Bicara Ilmu PDJH1 (Bangunan Lama), UiTM Cawangan Perlis serta disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Program ini mencatatkan jumlah kehadiran seramai 139 peserta secara fizikal dan dalam talian.
Sesi taklimat ini menampilkan Puan Delaila Aziz, wakil daripada Wasiyyah Shoppe Berhad, yang berkongsi pengetahuan berkaitan perancangan harta dan kepentingan penyediaan dokumen wasiat dalam memastikan kebajikan waris terpelihara selepas ketiadaan seseorang.
Dalam pembentangan tersebut, penceramah menjelaskan bahawa semua harta yang dimiliki akan menjadi harta pusaka sebaik sahaja seseorang meninggal dunia, dan pengagihannya adalah tertakluk kepada hukum faraid. Beliau turut menekankan bahawa tanpa perancangan yang rapi, proses pengurusan harta pusaka boleh menjadi rumit serta berpotensi menimbulkan konflik dalam kalangan waris.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada fungsi dan kepentingan dokumen wasiat, antaranya untuk melantik pentadbir yang dipercayai, memastikan hutang diselesaikan, mengelakkan pecah amanah serta memudahkan pembahagian harta mengikut kehendak pewasiat. Kupasan ini memberi gambaran jelas bahawa penyediaan wasiat merupakan satu bentuk tanggungjawab dan perancangan awal bagi melindungi kepentingan keluarga.
Sesi turut membincangkan konsep hibah sebagai alternatif perancangan harta, iaitu pemberian harta semasa hidup yang berlandaskan kasih sayang tanpa mengharapkan balasan, serta perbezaannya dengan wasiat dari sudut pelaksanaan dan implikasi perundangan. Penjelasan ini membantu peserta memahami pilihan yang tersedia dalam merancang pengurusan harta secara patuh syariah.
Melalui perkongsian yang komprehensif ini, para peserta dapat memahami dengan lebih jelas kepentingan membuat persediaan awal dalam pengurusan harta pusaka bagi mengelakkan kesulitan kepada waris pada masa hadapan. Program ini juga secara tidak langsung meningkatkan kesedaran tentang peranan institusi seperti Wasiyyah Shoppe Berhad dalam menyediakan solusi perancangan harta yang sistematik dan berlandaskan syariah.
Program ReSearchLight Edisi 9 ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis sebagai platform perkongsian ilmu dalam memperkasa kefahaman masyarakat terhadap pengurusan harta dan perwarisan Islam.
Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui pautan berikut:
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=b27b_mKsV30

