Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

ReSearchLight Edisi 8 Perjelas Peranan UiTM Technoventure dalam Pengkomersialan Penyelidikan

11 Mac 2026 – Program ReSearchLight Edisi 8 bertajuk “Mengenali UiTM Technoventure (UTV): Struktur, Peranan & Mekanisma Pelaksanaan” telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan jumlah kehadiran seramai 1,993 peserta secara dalam talian, mencerminkan minat tinggi terhadap agenda pengkomersialan penyelidikan dalam kalangan warga akademik dan industri.

Sesi perkongsian ini menampilkan barisan panel berpengalaman daripada UiTM Technoventure yang terdiri daripada Prof. Ir. Dr. Rozita Jailani selaku Ketua Pegawai Eksekutif Technoventure, bersama-sama En. Ahmad Zainal Abidin, Pn. Noor Fadzlina Fadzil, En. Kamarol Zaman Mohd Yusof, En. Muhammad Izzuddin Abdul Latif dan Pn. Amanina Ghazali, yang masing-masing mewakili bahagian strategik dalam organisasi tersebut. Program ini telah dikendalikan oleh Dr. Ang Lee Sin, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis sebagai moderator.

Sepanjang program, para panel telah menghuraikan secara menyeluruh mengenai struktur organisasi UiTM Technoventure (UTV), peranan utama setiap bahagian serta mekanisma pelaksanaan dalam menyokong aktiviti pengkomersialan penyelidikan universiti. Perbincangan turut memberi penekanan kepada kepentingan pemindahan teknologi, perlindungan harta intelek serta pembangunan model perniagaan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada inovasi yang memberi nilai tambah kepada industri dan masyarakat.

Selain itu, sesi ini turut membuka ruang kepada peserta untuk memahami dengan lebih jelas laluan pengkomersialan hasil penyelidikan, termasuk sokongan yang disediakan oleh UTV dari segi perundingan, latihan, pengurusan kewangan serta aspek perundangan. Perkongsian ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan penyelidik mengenai potensi dan peluang untuk memanfaatkan hasil penyelidikan ke arah penjanaan pendapatan dan impak yang lebih luas.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa ekosistem inovasi dan pengkomersialan penyelidikan, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan penyelidik yang bukan sahaja produktif dari segi penerbitan, malah berupaya menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi dan bernilai komersial.

Program ReSearchLight Edisi 8 ini dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis, sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.

Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui pautan berikut:
Facebook: https://www.facebook.com/events/1615808066132967
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=4HCoNzJU7zg

Tags: