Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

ReSearchLight Edisi 12 Bimbing Penyelidik Mengenal Pasti Research Niche yang Berimpak

KHAIRIL IZWAN BIN HASAN 8/7/2026

 

ARAU - 7 Julai 2026 – Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan ReSearchLight Edisi 12 bertajuk “Mencari Research Niche: Ikut Passion, Trend atau Purpose?” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan pada 7 Julai 2026 (Selasa), dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini telah menarik penyertaan seramai 89 peserta secara dalam talian, terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan warga akademik yang ingin memperkukuh hala tuju penyelidikan masing-masing.

 

Program ini menampilkan Assoc. Prof. Dr. Lee Wing Hin dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) & Royal College of Medicine Perak sebagai panel jemputan, manakala sesi dikendalikan oleh Nur Syafiqah Rahim, Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis selaku moderator. Dr. Lee merupakan penyelidik yang diiktiraf dalam senarai Stanford University's Top 2% Scientist dan aktif dalam bidang penyelidikan biomaterial, penghantaran ubat serta rawatan kanser paru-paru.

Mengupas persoalan sama ada research niche perlu dibina berasaskan passion, trend atau purpose, Dr. Lee menjelaskan bahawa pembinaan niche penyelidikan merupakan satu proses yang berkembang seiring pengalaman dan bukannya sesuatu yang terbentuk sebaik sahaja seseorang menamatkan pengajian doktor falsafah. Menurut beliau, penyelidik muda tidak perlu terlalu bimbang untuk mencari niche yang sempurna, sebaliknya perlu membina asas kepakaran secara berperingkat dan sentiasa terbuka kepada peluang pembelajaran baharu.

 

Beliau turut menekankan bahawa langkah pertama selepas menamatkan pengajian ialah mengekalkan hubungan profesional dengan penyelia (supervisor) kerana hubungan tersebut mampu membuka peluang kolaborasi, bimbingan serta jaringan penyelidikan yang berterusan. Menurut beliau, hubungan yang baik dengan mentor merupakan aset penting dalam membina kerjaya penyelidikan yang mampan.

 

Menyentuh tema utama program, Dr. Lee menegaskan bahawa minat (passion) perlu menjadi asas dalam memilih bidang penyelidikan. Beliau berpandangan bahawa penyelidikan yang hanya didorong oleh trend semasa sukar dikekalkan dalam jangka panjang sekiranya seseorang tidak benar-benar meminati bidang tersebut. Sebaliknya, rasa ingin tahu yang tinggi dan minat yang mendalam akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan berimpak.

 

Dalam masa yang sama, panel menjelaskan bahawa penyelidik perlu peka terhadap perkembangan teknologi dan trend semasa seperti kecerdasan buatan (AI). Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa teknologi hanyalah alat sokongan, manakala kepakaran, kemahiran dan platform ilmu yang kukuh perlu dibangunkan terlebih dahulu supaya penyelidik tidak bergantung sepenuhnya kepada perubahan trend teknologi.

 

Sesi turut menyentuh kepentingan membina pasukan penyelidikan (research team) yang mantap melalui penerbitan ilmiah, kolaborasi strategik dan jaringan profesional. Dr. Lee menjelaskan bahawa penyelidik baharu perlu berusaha meningkatkan rekod penerbitan dan membina kredibiliti supaya lebih mudah menarik rakan kolaborasi bagi menjayakan projek penyelidikan pada masa hadapan.

Mengakhiri sesi, moderator merumuskan bahawa pencarian research niche bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan keberanian untuk mencuba, kesediaan belajar daripada pengalaman serta keseimbangan antara passion, trend dan purpose. Perkongsian ini diharap dapat memberi inspirasi kepada penyelidik muda untuk terus membina kepakaran yang unik, relevan dan mampu memberi impak kepada masyarakat serta dunia akademik.

 

Program ReSearchLight merupakan siri perkongsian ilmu anjuran Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis yang bertujuan memperkasa budaya penyelidikan, penerbitan, inovasi dan jaringan akademik melalui perkongsian pengalaman, amalan terbaik serta kepakaran daripada penyelidik berpengalaman.

 

Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui:

📺 YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=AatgfTKfHZI

 

Tags: