Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

ReSearchLight Edisi 11 Inspirasi Perjalanan Penyelidikan ke Arah Impak dan Pengiktirafan

Arau - 25 Jun 2026 – Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan ReSearchLight Edisi 11 bertajuk “The Research Journey: Building Growth, Impact and Recognition” secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan pada 25 Jun 2026 (Khamis), dari 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Program ini disertai seramai 64 peserta secara dalam talian yang terdiri daripada warga akademik dan penyelidik yang ingin memperkukuh kompetensi dalam bidang penyelidikan.

Program ini menampilkan Dr. Hanani Yazid, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis sebagai panel jemputan, manakala sesi dikendalikan oleh Dr. Marina Abu Bakar, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Perlis selaku moderator.

Mengangkat tema “The Research Journey: Building Growth, Impact and Recognition”, sesi perkongsian ini memberi fokus kepada pengalaman sebenar panel dalam membina kerjaya sebagai penyelidik, bermula daripada menghasilkan penyelidikan asas sehingga membangunkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat, industri dan pembangunan negara.

Sepanjang sesi, Dr. Hanani berkongsi bahawa kejayaan dalam penyelidikan bukan sekadar bergantung kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya memerlukan mindset yang positif, daya tahan yang tinggi serta kesediaan menerima kritikan dan cabaran sepanjang proses penyelidikan. Menurut beliau, setiap penyelidik perlu sentiasa bersedia menambah baik idea, instrumen dan metodologi kerana proses penyelidikan merupakan satu perjalanan pembelajaran yang berterusan.

Beliau turut menjelaskan bahawa trend penyelidikan kini telah berkembang daripada penyelidikan berbentuk fundamental kepada penyelidikan multidisiplin dan aplikasi, yang memberi penekanan kepada penyelesaian masalah sebenar masyarakat. Selain itu, penyelidik juga digalakkan untuk menyelaraskan penyelidikan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memanfaatkan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan impak dan relevansi hasil penyelidikan.

Dalam perkongsian mengenai pembangunan kerjaya penyelidik, Dr. Hanani menekankan kepentingan untuk tidak menunggu masa yang sempurna sebelum memulakan sesuatu. Beliau berkongsi pengalaman menghasilkan buku, memohon geran penyelidikan dan menjalani program visiting researcher di Taiwan walaupun berdepan pelbagai cabaran peribadi. Menurut beliau, penyelidik perlu sentiasa membuat persediaan awal dengan menyediakan proposal geran secara berterusan agar sentiasa bersedia apabila peluang pembiayaan dibuka.

Sesi turut mengetengahkan kepentingan kolaborasi antarabangsa dalam memperluaskan jaringan penyelidikan. Pengalaman sebagai visiting researcher di Taiwan membuka peluang kepada Dr. Hanani untuk menggunakan kemudahan penyelidikan yang lebih canggih, menjalankan penerbitan bersama serta membina kerjasama strategik yang berpotensi menghasilkan lebih banyak projek penyelidikan pada masa hadapan. Beliau turut berkongsi bahawa budaya penyelidikan yang aktif, disiplin dan kolaboratif di institusi luar negara merupakan amalan terbaik yang boleh dicontohi bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan di Malaysia.

Mengulas mengenai pembangunan budaya penyelidikan, panel berharap agar lebih banyak kerjasama antara institusi pengajian tinggi, industri dan agensi penyelidikan dapat diwujudkan bagi meningkatkan impak penyelidikan negara. Beliau turut menegaskan bahawa penyelidikan yang berkualiti perlu dilaksanakan dengan penuh amanah, integriti dan minat, bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi (KPI), supaya hasil penyelidikan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Menjawab soalan peserta, Dr. Hanani turut mencadangkan agar institusi menyediakan lebih banyak ruang dan masa khusus untuk penulisan akademik, memandangkan kekangan masa merupakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh pensyarah dalam menghasilkan penerbitan berkualiti. Menurut beliau, momentum penulisan yang berterusan amat penting bagi memastikan produktiviti penyelidikan dapat dipertingkatkan.

Program ReSearchLight Edisi 11 berjaya memberikan inspirasi kepada para peserta untuk melihat penyelidikan sebagai satu perjalanan yang memerlukan komitmen, kesungguhan dan pembelajaran berterusan. Perkongsian pengalaman sebenar panel diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada warga akademik, khususnya penyelidik muda, untuk terus membina budaya penyelidikan yang cemerlang, berimpak dan diiktiraf di peringkat nasional serta antarabangsa.

Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui pautan berikut:

YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=jWLSKF1Gbb4

Tags: