Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Bicara Pakar@Nebuva Perkasa Minda Keusahawanan ke Arah Melahirkan Job Creator

Arau- 23 Jun 2026 – Fakulti Pengurusan Perniagaan dengan kerjasama Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan program Bicara Pakar@Nebuva bertajuk “Job Seeker atau Job Creator? Membina Minda Usahawan Masa Depan” yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan pada 23 Jun 2026 (Selasa), jam 9.00 pagi.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan jumlah kehadiran seramai 363 peserta, melibatkan 274 pelajar, 86 staf dan 14 orang awam.

Program ini menampilkan Tuan Dzahir Jamudin, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya, dan Dr Athifah Najwani Shahidan, Pengarah Urusan Athanliz Innovation Sdn. Bhd. serta pengasas syarikat start-up UiTM sebagai panel jemputan. Sesi ini dikendalikan oleh Dr Nurwahida Fuad, Koordinator Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM Cawangan Perlis selaku moderator.

Bertemakan “Job Seeker atau Job Creator”, forum ini memberi penekanan kepada kepentingan membina minda keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan agar mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri selaras dengan perubahan landskap ekonomi dan perkembangan teknologi. Panel berpandangan bahawa dunia pekerjaan masa kini memerlukan graduan yang lebih fleksibel, inovatif dan berani mengambil risiko, selain tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan sedia ada.

Sepanjang sesi perkongsian, Tuan Dzahir Jamudin menekankan bahawa kejayaan sebagai usahawan bermula dengan kesediaan untuk terus belajar, membina jaringan profesional serta mengenal pasti peluang baharu. Beliau turut berkongsi pengalaman membangunkan perniagaan melalui kolaborasi strategik, penyertaan dalam persidangan dan usaha memperluaskan rangkaian perniagaan. Menurut beliau, kejayaan sesebuah perniagaan bukan sahaja bergantung kepada modal, tetapi juga kepada sikap proaktif, daya tahan serta kesanggupan untuk menimba pengalaman daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Dr Athifah Najwani Shahidan menjelaskan bahawa perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) telah membuka lebih banyak ruang kepada graduan untuk menceburi bidang keusahawanan. Beliau menekankan bahawa graduan perlu memperkukuh kemahiran insaniah, kreativiti, komunikasi dan penyelesaian masalah, di samping memanfaatkan teknologi sebagai pemangkin kepada pembangunan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

Panel turut membincangkan persepsi bahawa kekurangan modal merupakan halangan utama untuk memulakan perniagaan. Menurut mereka, cabaran tersebut boleh diatasi melalui perancangan yang baik, penyediaan pelan perniagaan, bimbingan mentor serta memanfaatkan pelbagai bantuan dan geran keusahawanan yang disediakan oleh agensi berkaitan. Perkongsian ini memberi keyakinan kepada peserta bahawa kejayaan dalam bidang keusahawanan bukan semata-mata bergantung kepada modal kewangan, tetapi lebih kepada ilmu, strategi dan kesungguhan untuk terus berkembang.

Program ini turut menekankan peranan institusi pengajian tinggi dalam melahirkan graduan yang mempunyai daya saing tinggi melalui pendedahan kepada ekosistem keusahawanan, inovasi dan jaringan industri. Perkongsian yang bersifat praktikal dan inspiratif ini berjaya memberi motivasi kepada peserta untuk melihat keusahawanan sebagai salah satu laluan kerjaya yang berpotensi tinggi serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Program Bicara Pakar@Nebuva ini merupakan salah satu inisiatif dalam memperkukuh budaya keusahawanan dan inovasi dalam kalangan warga UiTM, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki pasaran pekerjaan, malah mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan (job creator) yang berdaya tahan dan berdaya saing.

Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui pautan berikut:

Facebook: https://www.facebook.com/events/1691085448795214
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=SMg9ylZ7-ww

Tags: