Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Dari Kampus ke Korporat: Membina Minda Usahawan Muda Berdaya Saing

Satu sesi perkongsian ilmu yang bermakna telah berlangsung menerusi program Bicara Pakar: “Dari Kampus ke Korporat: Membina Minda Usahawan Muda Berdaya Saing” pada 7 Januari 2026 (Rabu) bertempat di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis bermula jam 9.00 pagi. Program ini turut disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, melibatkan jumlah keseluruhan kehadiran seramai 927 orang secara fizikal dan dalam talian.

Program ini menampilkan Dato’ Wira Othman Aziz, Pengerusi Jasmine Rice Mill Sdn. Bhd. (Anak Syarikat Kumpulan Bernas) merangkap alumni UiTM Cawangan Perlis, sebagai penceramah jemputan. Sesi forum telah dikendalikan oleh Dr. Nurwahida Fuad, Koordinator ICAN UiTM Cawangan Perlis sebagai moderator.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Dato’ Wira Othman Aziz menekankan keperluan mahasiswa untuk melakukan perubahan minda apabila melangkah keluar dari dunia kampus ke alam kerjaya dan keusahawanan. Menurut beliau, kehidupan sebagai pelajar memberi ruang untuk mencuba dan melakukan kesilapan, namun realiti dunia pekerjaan dan korporat menuntut prestasi, akauntabiliti serta pencapaian berasaskan petunjuk prestasi utama (KPI).

Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan kemahiran praktikal, sikap profesional, disiplin kerja serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan tuntutan industri. Mahasiswa disaran agar memanfaatkan tempoh pengajian untuk membina sahsiah, kepimpinan dan keberanian mencuba, terutamanya dalam bidang keusahawanan.

Sebagai seorang alumni UiTM, Dato’ Wira Othman Aziz turut berkongsi pengalaman peribadi beliau bermula sebagai pelajar Diploma Pengajian Perniagaan di ITM Arau sehingga memegang pelbagai jawatan penting di peringkat nasional dan korporat. Perkongsian ini memberi inspirasi kepada para peserta bahawa kejayaan adalah hasil daripada usaha berterusan, pembelajaran sepanjang hayat dan kesediaan menghadapi cabaran.

Program ini dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Perniagaan, Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) serta Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan UiTM Cawangan Perlis. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan antara universiti, alumni dan industri, di samping melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia sebenar.

Tags: ,