Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Sesi Resensi Buku Perkukuh Penghayatan Akhlak Nabawi dalam Kalangan Warga UiTM

30/4/2026 / KHAIRIL IZWAN HASAN

Arau, 23 April 2026 – Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan sesi Resensi Buku sempena program Jom Baca Bersama 10 Minit yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Facebook dan YouTube pada 23 April 2026 (Khamis), jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini telah berjaya menarik 78 peserta secara dalam talian.

Program ini dimulakan dengan Sesi Jom Baca Bersama 10 Minit, di mana peserta bersama-sama membaca dua muka surat daripada buku “Ensiklopedia Akhlak Rasulullah: 25 Akhlak Nabawi Petunjuk Jalan Kebahagiaan”, sebelum diteruskan dengan kupasan mukadimah buku yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Daud Ahmad, Kerani Tertinggi, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Perlis. Sesi ini dikendalikan oleh Khairil Izwan Hasan, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan sebagai moderator.

Dalam kupasan tersebut, penceramah menjelaskan bahawa akhlak dalam Islam bukan sekadar tingkah laku luaran, tetapi merupakan manifestasi dalaman yang lahir daripada jiwa yang bersih dan terdidik berlandaskan al-Quran dan sunnah. Beliau turut menghuraikan bahawa akhlak berkait rapat dengan konsep adab, moral dan etika, namun mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sumber penilaiannya berteraskan wahyu Ilahi.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada perbezaan antara akhlak, etika, moral, nilai dan norma, serta bagaimana setiap elemen tersebut berperanan dalam membentuk tingkah laku manusia dan masyarakat. Kupasan ini turut menekankan bahawa dalam Islam, penentuan baik dan buruk sesuatu perbuatan adalah berpandukan syariat, berbeza dengan pendekatan Barat yang lebih bersandarkan kepada rasional dan falsafah semata-mata.

Penceramah juga menekankan bahawa pembentukan akhlak memerlukan ilmu, latihan dan pengamalan berterusan, di mana pengetahuan sahaja tidak mencukupi tanpa diterjemahkan dalam bentuk amalan. Antara nilai akhlak yang diketengahkan termasuklah sifat syukur, sabar, reda, tawakal dan ikhlas, yang menjadi asas dalam membina peribadi Muslim yang seimbang dan berdaya tahan.

Di samping itu, sesi ini turut menggariskan bahawa akhlak merupakan komponen penting dalam struktur agama Islam, yang saling melengkapi antara akidah dan syariat. Akhlak yang mulia bukan sahaja mencerminkan keimanan seseorang, malah berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Program ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk budaya membaca serta memperkukuh penghayatan nilai-nilai akhlak Rasulullah SAW dalam kalangan peserta. Penyampaian yang jelas dan berfokus telah membantu peserta memahami kepentingan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam pembentukan peribadi unggul.

Rakaman penuh program boleh ditonton semula melalui pautan berikut:
YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=N5pvpNzU8jY

Program ini dianjurkan oleh Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Perlis sebagai usaha berterusan dalam menyemai budaya ilmu, amalan membaca dan penghayatan akhlak dalam kalangan warga universiti.

Tags: ,