Library News

Lawatan Akademik Universitas Brawijaya

30 Oktober 2025 – Lawatan akademik dua wakil pelajar dari Jabatan Manajemen, Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Brawijaya, Indonesia ke Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas sesi perkongsian ilmu dan lawatan sekitar fasiliti perpustakaan. Kedua-dua pelajar pascasiswazah, Noorsy Zidna Nabiela S.M., M.M. dan Yosabah Zahro S.M., menyatakan penghargaan terhadap kehangatan sambutan serta pendedahan menyeluruh yang diterima sepanjang lawatan, khususnya berkaitan pengurusan perkhidmatan perpustakaan universiti moden.

Sesi lawatan turut diserikan dengan penerangan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan PSB, yang menerangkan secara komprehensif mengenai strategi PSB dalam memperkukuh akses kepada sumber ilmiah, memperkaya koleksi digital, serta memupuk budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan warga kampus. Para pelawat turut dibawa meninjau kemudahan utama seperti ruang bacaan, bilik kolaboratif, dan stesen pembelajaran digital yang menjadi tunjang sokongan kepada aktiviti akademik dan penyelidikan di UiTM Kedah.

Lawatan ini secara tidak langsung membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan idea dalam memperkukuh sistem pengurusan perpustakaan serta menggalakkan jalinan akademik antara Malaysia dan Indonesia. Perbincangan juga menekankan potensi kerjasama masa hadapan, khususnya dalam aspek pembangunan sumber digital, penyelidikan bersama, dan inisiatif perkongsian ilmu antara institusi.

Delegasi Universitas Brawijaya tiba di PSB pada jam 9.00 pagi dan disambut mesra oleh pihak tuan rumah. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembelajaran luar bilik darjah yang bertujuan memperluas perspektif akademik serta memperkenalkan amalan terbaik pengurusan perpustakaan di UiTM. Secara keseluruhannya, kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan intelektual antara dua institusi pendidikan tinggi serantau, malah menjadi langkah strategik dalam memperkasa mobiliti akademik dan budaya ilmu di rantau ASEAN.

Tags: ,