12 November 2025 | 21 Jamadilawal 1447H
Seksyen Pengurusan Arkib, Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak, (HASA), UiTM Puncak Alam telah menganjurkan Kursus Pengurusan Rekod
selama dua hari bertujuan memperkukuh kefahaman dan kecekapan staf dalam mengurus rekod jabatan secara sistematik dan mematuhi piawaian Arkib Negara Malaysia.
Kursus ini diadakan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia dan dihadiri oleh pegawai serta staf HASA yang dilantik sebagai Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ).
Hari pertama Kursus Pengurusan Rekod telah berlangsung pada 12 November 2025 (Rabu) bertempat di Bilik Persidangan 1, Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM Puncak Alam.
Sesi pada hari pertama ini dikendalikan oleh Puan Nuriqa Irani binti Yahya, Pegawai Arkib (S10) dari Seksyen Konsultansi dan Latihan, Arkib Negara Malaysia.
Program dimulakan dengan penerangan menyeluruh mengenai konsep asas dan perundangan pengurusan rekod, diikuti dengan sesi mengenai kaedah pengelasan dan penyusunan fail mengikut piawaian semasa.
Antara topik utama yang dibincangkan termasuk:
- Pengenalan Pengurusan Rekod (Konvensional dan Digital) – memahami peranan dan fungsi rekod dalam operasi jabatan.
- Perundangan Pengurusan Rekod – menjelaskan tanggungjawab jabatan di bawah Akta Arkib Negara 2003 [Akta 629].
- Klasifikasi Fail: Ke Arah DDMS – memperkenalkan sistem pengelasan fail yang lebih efisien melalui Digital Document Management System (DDMS).
Sesi ini membantu peserta memahami kepentingan pengurusan rekod yang sistematik bukan sahaja sebagai rujukan pentadbiran semasa, tetapi juga sebagai bukti sah dalam urusan audit, kawalan integriti dan pematuhan organisasi.

