Kunjungan Delegasi Pejabat Transformasi Universiti (TRU) KE PERPUSTAKAAN TENGKU ANIS
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Pejabat Transformasi Universiti (TRU) yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Hajah Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi), baru-baru ini.
Lawatan ini bertujuan meninjau kemudahan, perkhidmatan serta inisiatif digital yang dilaksanakan oleh PTA dalam menyokong pembelajaran dan penyelidikan warga kampus. Delegasi turut diberi taklimat berkaitan peranan perpustakaan dalam mendokong agenda transformasi universiti melalui inovasi perkhidmatan, sistem automasi, dan pelaksanaan program literasi maklumat.
Selain itu, delegasi juga berkesempatan melawat Ruang Pameran The Authentic Diploma Showcase yang mengetengahkan hasil kerja pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (AD). Pameran ini menampilkan kreativiti, inovasi serta pencapaian pelajar diploma yang diangkat sebagai contoh hasil karya akademik bermutu tinggi.
Sepanjang sesi lawatan, delegasi TRU dibawa meninjau beberapa ruang utama perpustakaan termasuk kemudahan pembelajaran kolaboratif, bilik seminar, ruang bacaan, serta sudut teknologi digital yang menjadi tarikan pengguna. Perkongsian idea dan cadangan turut dikemukakan bagi memperkukuh lagi fungsi perpustakaan sebagai pusat ilmu dan hab rujukan akademik.
Pihak perpustakaan menyambut baik lawatan ini kerana ia memberi peluang untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama TRU dalam usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan perpustakaan, seiring dengan hasrat UiTM untuk “Pembudayaan Ilmu, Membentuk Adiwangsa.”
