22 Oktober 2025 | 30 Rabiul Akhir 1447H
Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) telah menganjurkan Program Executive Talk Siri 6/2025 bertemakan “Masa Depan Populasi Malaysia: Cabaran Demografi dan Kesihatan Reproduktif”. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keperluan pendekatan bersepadu dalam menangani isu demografi dan kesihatan reproduktif, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan atas usaha bersama antara institusi kesihatan dan sosial dalam memperkukuh kesedaran komuniti terhadap kesejahteraan keluarga dan kesihatan masyarakat.
Program dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk “Microplastik dan Kaitannya Dengan Kesihatan Awam” oleh Dr. Mohamad Ikhsan Selamat, Ketua Unit Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Perubatan Awam, yang menekankan kepentingan amalan kitar semula dan guna semula bagi mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. Sesi kedua menampilkan Prof. Madya Dr. Bahiyah Abdullah, Pakar Obstetrik dan Ginekologi HASA, melalui tajuk “Reproduktif dan Kesihatan Seksual Dalam Kalangan Masyarakat”. Beliau membincangkan isu penurunan kadar kesuburan dan implikasinya terhadap populasi negara pada masa hadapan.
Seterusnya, sesi Executive Talk bertajuk “Mikroplastik: Ancaman Senyap Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Kelangsungan Populasi” menampilkan barisan panel pakar iaitu Dr. Izatus Shima Taib (UKM), Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris (UPM) dan Encik Jason Yeo, Perunding Kesihatan Reproduktif dari United Nations Population Fund (UNFPA). Sesi ini memberi tumpuan kepada kesan mikroplastik terhadap penghasilan telur ovari, perkembangan janin dan kualiti semen lelaki.
Bersempena program ini, turut diadakan pelancaran “Tinta Nurani: Wadah Ilmu dan Inspirasi”, koleksi penerbitan digital Jabatan Psikiatri HASA yang memfokuskan kepada kesihatan mental, serta Majalah Paradigma Sosial 2025, terbitan ISM. Melalui penganjuran ini, para peserta memperoleh pendedahan mendalam tentang bahaya pencemaran mikroplastik terhadap kesihatan dan kesuburan manusia, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi kesihatan, akademik dan komuniti demi kesejahteraan populasi masa depan.

