Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) melalui Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR) telah mengadakan perbincangan awal bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam bagi membincangkan cadangan pelaksanaan Program Pembudayaan Ilmu, Jalinan Komuniti dan Literasi Kesihatan. Sesi perbincangan ini telah diadakan pada 30 Januari 2026 (Jumaat), jam 10.00 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat, SMK Puncak Alam.
Perbincangan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara pihak HASA dan pihak sekolah dalam usaha memperkasa budaya ilmu, memperkukuh jalinan komuniti serta meningkatkan kesedaran literasi kesihatan dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.
Sesi perbincangan ini telah dihadiri oleh Tuan Haji Norzi Saari, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Rahayu Ahmad Jumali, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, serta Puan Nornaimah binti Mohamed Yunus, Kaunselor SMK Puncak Alam.
Pihak Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR) HASA pula diwakili oleh Puan Noor Azlin Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), bersama Puan Fasihah Abdul Wahab dan Puan Maizatul Akmal Sidik.
Melalui sesi perbincangan ini, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan berkaitan cadangan pelaksanaan program, skop penglibatan serta keperluan sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan program yang dirancang dapat memberi manfaat menyeluruh kepada komuniti sekolah. Pihak HASA berharap kerjasama ini dapat diteruskan ke peringkat seterusnya demi menyokong pembudayaan ilmu dan literasi kesihatan secara berterusan.

