JENGKA, 21 Januari 2026 (Rabu) – Program Book Pick Express@PAB anjuran Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang telah berjaya dilaksanakan di Medan Selera Kolej Tok Gajah bermula jam 10.00 pagi hingga 4.30 petang.
Program yang diadakan di lokasi tumpuan pelajar itu berjaya menarik kehadiran seramai 106 orang pengunjung yang turut memeriahkan suasana melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti yang disediakan. Inisiatif turun padang ini dilihat sebagai pendekatan proaktif perpustakaan dalam mendekati warga kampus serta mempromosikan bahan bacaan secara lebih santai dan mudah diakses.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan jelas mencerminkan minat serta respon positif dalam kalangan warga kampus terhadap amalan membaca serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan. Program ini sekali gus membuktikan bahawa usaha memperluas akses kepada bahan bacaan mampu menarik perhatian pelajar walaupun di luar premis perpustakaan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka yang telah hadir serta memberikan sokongan padu terhadap pelaksanaan program ini.
Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh budaya membaca serta memartabatkan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang inklusif dan mesra pengguna, selaras dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG 4: Quality Education).