MELAKA, 6 Mac 2026 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka telah menganjurkan Bengkel Seni Kreatif 2026: Menulis Pantun Secara Santai yang berlangsung di PTAR Aras 1, UiTM Kampus Bandaraya Melaka.
Program ini dianjurkan oleh PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka dengan kerjasama Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Melaka bagi memupuk minat terhadap seni sastera tradisional Melayu, khususnya pantun, serta menggalakkan kreativiti dalam kalangan warga universiti.
Penganjuran bengkel ini juga selari dengan inisiatif Evolusi Dekad UiTM yang menekankan pembangunan budaya ilmu, kreativiti serta penghayatan terhadap warisan bahasa dan sastera Melayu.
Bengkel ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Encik Mohd Ab Malek bin Md Shah yang berkongsi ilmu serta pengalaman berkaitan teknik penulisan pantun yang menarik dan kreatif. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan dengan asas penulisan pantun, termasuk struktur pembayang dan maksud, di samping kaedah menghasilkan pantun secara santai tetapi bermakna.
Pelbagai aktiviti interaktif turut dijalankan bagi memberi peluang kepada peserta mencuba sendiri menghasilkan pantun dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. Bengkel ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan staf UiTM Cawangan Melaka.
Diharapkan penganjuran bengkel seperti ini dapat terus memperkasa penghayatan terhadap seni pantun sebagai khazanah warisan budaya Melayu, di samping menggalakkan penglibatan warga UiTM dalam aktiviti berteraskan ilmu, bahasa dan kreativiti.
