Pasir Gudang, 28 Julai 2025 – Sebagai inisiatif memperkasa kemahiran literasi dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan Bengkel Membaca Pantas di bawah Program Khidmat Komuniti Sekolah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini telah diadakan di SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, dan menyasarkan pelajar-pelajar sekolah sebagai peserta utama. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk membantu pelajar menguasai teknik membaca pantas dan berkesan, seterusnya meningkatkan kecekapan mereka dalam mengakses dan memahami maklumat dalam tempoh yang lebih singkat.
Bengkel ini telah disampaikan oleh Cik Nor Azalea binti Mohd Azahar, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Tun Dr. Ismail. Beliau berkongsi pelbagai kaedah dan strategi membaca pantas yang praktikal serta memberi latihan langsung kepada para pelajar dalam sesi interaktif dan menyeronokkan. Turut hadir sebagai fasilitator ialah Puan Siti Fatihah binti Mohd Fuzi, Pembantu Pustakawan Kanan, juga dari PTDI, yang membantu melancarkan pelaksanaan aktiviti sepanjang program.
Peranan aktif PTDI dalam program ini menzahirkan komitmen perpustakaan dalam menyokong pembangunan sahsiah dan akademik pelajar di luar lingkungan universiti. Usaha ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti melalui pembudayaan ilmu kepada komuniti setempat, selaras dengan aspirasi UiTM untuk menjadi institusi yang inklusif dan progresif.
Penganjuran bengkel ini telah menerima sambutan yang sangat baik daripada warga sekolah, yang melihat pendekatan ini sebagai nilai tambah dalam usaha memperkukuh prestasi pelajar terutamanya dalam persediaan menghadapi peperiksaan besar.
PTDI berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan dan diperluas ke sekolah-sekolah lain di bawah pentadbiran PPD Pasir Gudang, agar manfaatnya dapat dikongsi secara meluas demi melahirkan generasi celik maklumat dan berdaya saing.
