Pasir Gudang, 28 Julai 2025 – Dalam usaha memupuk kemahiran celik maklumat dalam kalangan pelajar sekolah, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah menganjurkan Bengkel Ilmu Bestari: Literasi Maklumat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.
Program ini berlangsung dari jam 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang dan merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Khidmat Komuniti Sekolah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang. Bengkel ini menyasarkan pelajar sekolah menengah dengan matlamat memperkasakan mereka dalam kemahiran mengenal pasti, mengakses, menilai dan menggunakan maklumat secara berkesan dan beretika.
Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan dengan teknik carian maklumat secara dalam talian, pengenalan kepada sumber-sumber sahih, dan kemahiran asas dalam penggunaan perpustakaan digital. Penerangan interaktif yang disampaikan turut melibatkan aktiviti praktikal yang menarik, membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan secara terus.
Peranan Perpustakaan Tun Dr. Ismail sebagai penganjur utama telah menyerlahkan komitmen institusi ini dalam menyokong pembangunan pendidikan luar kampus melalui penglibatan aktif di peringkat sekolah. Staf PTDI hadir memberi bimbingan secara langsung kepada pelajar, sekaligus mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.
Melalui program ini, PTDI bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah turut memainkan peranan sebagai jambatan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah dalam usaha melahirkan pelajar yang celik maklumat dan bersedia menghadapi cabaran pembelajaran abad ke-21.
Dengan sambutan positif dan penglibatan pelajar yang memberangsangkan, program ini diharap dapat diteruskan secara berterusan demi memperluas manfaatnya ke sekolah-sekolah lain di daerah Pasir Gudang dan sekitarnya.
