9 Oktober 2025, Segamat – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, menjadi lokasi tumpuan apabila program ACS Edu Tour E-Sport Roadshow: Menyemarakkan Revolusi Digital di UiTM Johor berlangsung dengan meriah bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Program yang dianjurkan oleh Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) dengan kerjasama Level Infinite, CRIT, dan Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) ini berjaya menarik penyertaan seramai 200 orang peserta, terdiri daripada pelajar dan warga UiTM Johor.
Tujuan utama penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi besar industri e-sukan sebagai salah satu cabang kerjaya masa kini dan masa hadapan. Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program, termasuk sesi perkongsian ilmu, pameran, serta pengenalan kepada permainan digital popular yang mendapat sambutan hangat.
Antara acara kemuncak ialah Sesi Perkongsian Industri E-Sport & Edu Tour oleh Encik Abdul Akiff, Pengerusi Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA). Beliau berkongsi pengalaman dan pandangan berharga tentang perkembangan pesat dunia e-sukan di Malaysia, cabaran yang dihadapi oleh pemain industri, serta peluang kerjaya yang semakin terbuka luas dalam bidang ini.
Menurut Encik Abdul Akiff, e-sukan bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan platform pembelajaran yang mampu membentuk kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan, dan daya saing tinggi dalam kalangan generasi muda.
Secara keseluruhannya, ACS Edu Tour E-Sport Roadshow berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memberikan pendedahan menyeluruh tentang dunia e-sukan kepada warga kampus. Program ini membuktikan bahawa e-sukan kini bukan sekadar fenomena hiburan, tetapi satu industri berpotensi besar yang mampu menjana ekonomi dan melahirkan generasi kreatif serta inovatif di era digital.
Hebahan media sosial : media sosial
