23 April 2024 | 24 Syawal 1446H
JOHOR BAHRU - Suasana di Toppen Shopping Complex, Johor Bahru pada pagi Rabu lalu menjadi luar biasa apabila ratusan pengunjung berhenti sejenak daripada rutin harian untuk menyertai program "Jom Baca Bersama 10 Minit: Nikmati Saat Ini!", satu inisiatif yang menyerlahkan semangat cintakan ilmu dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), Kampus Pasir Gudang juga Toppen Shopping Complex Johor Bahru ini berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat – dari murid sekolah, pelajar IPT, guru-guru, ibu bapa, hinggalah pengunjung pusat beli-belah.
Tepat jam 11.00 pagi, suasana Toppen Shopping Complex menjadi sunyi seketika apabila semua yang hadir menyertai sesi membaca serentak selama 10 minit. Masing-masing asyik menelusuri halaman buku pilihan, memberi gambaran jelas bahawa budaya membaca masih subur jika terus dipupuk dan disemarakkan secara kreatif dan inklusif.
Keterlibatan institusi pengajian tinggi dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen terhadap pembangunan sahsiah dan intelektual dalam komuniti. Malah, pendekatan santai seperti penganjuran di pusat beli-belah dilihat mampu menarik lebih ramai penyertaan dari pelbagai golongan.