Pasir Gudang, 4 Jun – Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang hari ini menganjurkan program ilmiah bertajuk “1 Staf 1 Perkongsian Ilmu” yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang.
Program yang merupakan inisiatif di bawah Program Telaah Ilmu ini bertujuan memperkukuh budaya perkongsian ilmu dalam kalangan warga perpustakaan serta memupuk semangat kolaborasi dan pembelajaran berterusan. Pelaksanaan program ini memberi peluang kepada staf untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang profesional masing-masing.
Antara yang berkongsi ilmu dalam program ini ialah En. Idris Muhammad selaku Timbalan Ketua Pustakawan (M) KUP, dengan tajuk yang dibentangkan Library Management Software : Mendeley Cite. Disusuli dengan En. Mohd Sharir Shaini, Pembantu Pustakawan Kanan dengan tajuknya ELib & My Reading Permata.
Sesi diteruskan dengan perkongsian En. Mohd Danial Daud, Pembantu Pustakawan Kanan, yang membawakan topik Sistem BSU ( Permohonan Kenderaan, Equipment), OSOMS, eSPL. Setelah itu En. Mohd Asrulazlan, Pembantu Pustakawan Kanan, membentangkan modul Sirkulasi dari sistem Permata.
Sesi diakhiri dengan perkongsian En. Malek Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan, yang mengupas topik Institutional Repository (IR) dan memberi tunjuk ajar proses memasukkan bahan ke dalam sistem IR juga kaedah akses bahan IR.
Melalui pembentangan dan perkongsian ilmu daripada para staf ini, program ini bukan sahaja mempertingkatkan kemahiran profesional dalaman, malah turut menyemarakkan semangat inovasi dan keterbukaan terhadap ilmu baharu dalam kalangan kakitangan perpustakaan.