Shah Alam, 14 November 2024
Galeri Tun Abdul Razak (GTAR) hari ini menerima kunjungan istimewa daripada En. Ariffin Bin Jamaludin, mantan Ketua Jabatan Arkib Universiti, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Kunjungan beliau disertai oleh isteri bagi meninjau perkembangan terbaru galeri yang menjadi simbol sejarah dan warisan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Lawatan tersebut dipandu oleh Puan Roszainatul Haizan Binti Rusili, Penolong Pendaftar Kanan GTAR, yang memberikan penerangan terperinci mengenai paparan dan inisiatif terkini yang sedang dilaksanakan di galeri itu.
Menurut Puan Roszainatul, lawatan ini merupakan penghormatan kepada sumbangan besar En. Ariffin semasa menerajui Jabatan Arkib Universiti. “Kami berbesar hati menerima kehadiran beliau. Sumbangan beliau dalam memastikan pemeliharaan sejarah universiti amat dihargai, dan kehadiran beliau hari ini memberi makna besar kepada pasukan GTAR,” katanya.
En. Ariffin, dalam kunjungannya, memuji usaha berterusan GTAR dalam mengekalkan relevansi sejarah dan nilai-nilai tunjang universiti. “Saya berbangga melihat bagaimana GTAR terus berkembang sebagai pusat yang menghubungkan generasi kini dengan sejarah UiTM,” ujar beliau.
Lawatan santai itu turut menyaksikan En. Ariffin dan isteri meluangkan masa menikmati pelbagai pameran interaktif yang disediakan oleh GTAR, termasuk koleksi dokumen, artifak, dan multimedia yang mendokumentasikan sejarah perjalanan UiTM.
Galeri Tun Abdul Razak terus menjadi destinasi utama dalam mempromosikan sejarah dan warisan UiTM, selaras dengan komitmen universiti untuk mendidik generasi muda tentang pentingnya menghargai warisan intelektual dan budaya negara.