lnisiatif KIK bermula pada tahun 80an, di mana kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk merealisasikan kreativiti, reka cipta dan inovasi di tempat kerja. Justeru, kerajaan menyarankan penubuhan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) dalam penyelesaian masalah organisasi. KMK bertujuan menggalakkan budaya inovatif dan kreatif serta memberi peluang kepada anggota Perkhidmatan Awam untuk menggilap kebolehan dan meningkatkan kompetensi diri. Untuk memberi fokus kepada KMK, kerajaan menukar namanya kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
KMK telah diamalkan di UiTM sejak 1985 dan membuktikan kemampuannya untuk menghasilkan penyelesaian masalah kerja dan inovasi sistem kerja. Mulai 2006, KIK telah diterima sebagai salah satu alat pengurusan yang mudah difahami dan dilaksanakan oleh semua peringkat staf. KIK menumpukan kepada penyelesaian punca-punca untuk menyelesaikan masalah atau mencari peluang-peluang penambahbaikan kepada proses sedia ada atau/dan memperkenalkan proses, produk atau perkhidmatan yang baru dengan memberi nilai tambah kepada sistem penyampaian perkhidmatan jabatan secara kreatif dan inovatif.