Pada 10hb April 2023 (Isnin), Perpustakaan Cendekiawan Kampus Kuala Terengganu telah menjalankan satu program Corporate Social Responsibility (CSR) iaitu Program “Ramadhan Menyuci Jiwa” bertempat di Maahad Tahfiz As-Syifa’ Kuala Ibai, Terengganu. Program ini merupakan kolabarasi Perpustakaan Cendekiawan Kampus Kuala Terengganu bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dan Kelab Minda Islam (KMI) dalam menjayakan program bersama pelajar Maahad Tahfiz As-Syifa’. Program ini melibatkan 32 orang pelajar tahfiz, 3 orang pengajar tahfiz, 15 orang pelajar (JPK,KMI) dan staf perpustakaan.
Sempena bulan Ramadhan al Mubarak, perpustakaan telah mengadakan kutipan Tabung Infaq dan Sumbangan kepada Maahad Tahfiz As-Syifa’ bermula 19 Mac 2023 sehingga 5 April 2023. Tabung ini turut dibuka kepada Kampus Dungun, Kampus Kuala Terengganu dan Kampus Bukit Besi. Hasil dari sumbangan tersebut telah diserahkan kepada pihak Maahad Tahfiz dan pemberian iftar berbuka kepada pelajar tahfiz. Antara sumbangan yang diserahkan ialah Al-Quran, Sejadah, Rehal dan Juadah berbuka.
Program bermula pada pukul 2.30 petang, dimana pelajar dari JPK dan KMI telah menjalankan aktiviti bersama pelajar tahfiz iaitu icebreaking dan aktiviti meneka hasil lukisan pelajar tersebut. Selain itu, kuiz dan bacaan surah pendek turut dilaksanakan oleh para pelajar. Program diteruskan dengan Kuliah Ramadhan yang bertajuk “Ramadhan Bulan Ketaatan & Perjuangan” yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahnizam Azmi, Penolong Pendaftar Kanan, (UHEI) selama satu jam.
Antara objektif program ini ialah mengamalkan sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah dalam kehidupan seharian, mendekatkan diri kepada Allah dengan menambah amal kebajikan dan merapatkan ukhwah dalam kalangan warga UiTM dan komuniti.
Program ini juga dapat menyokong kepada sasaran Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG 1, SDG 4 iaitu Basmi Kemiskinan dan Pendidikan Berkualiti. Penonton boleh menonton semula rakaman program tersebut menerusi saluran YouTube PERPUSTAKAAN CENDEKIAWAN UITMCTKKT.
Semoga usaha yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada semua. Terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Semoga dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan dariNYA.
Disediakan oleh: Cik Nurmaisari Che Anuar, Pustakawan UiTMCT Kampus Kuala Terengganu