Lawatan Sambil Belajar dari SMK Seberang Marang,Terengganu

Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah berbesar hati menerima lawatan sambil belajar daripada warga SMK Seberang Marang,Terengganu, pada 22 September 2022, Khamis, yang lalu. Delegasi lawatan ini diketuai oleh tiga orang guru dan empat puluh orang pelajar, telah hadir secara bersemuka ke UiTMCT, bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai bidang pengajian yang ditawarkan dan kemudahan yang terdapat di UiTMCT. Di samping itu, ia juga secara tidak langsung memberi semangat untuk para pelajar belajar dengan lebih gigih bagi menjejakkan kaki ke universiti.

Para pelajar telah dibawa melawat ke beberapa bahagian di kampus UiTMCT serta kolej kediaman. Manakala bagi sesi lawatan berpandu di perpustakaan, delegasi lawatan ini telah diberikan penerangan ringkas berkaitan kemudahan, perkhidmatan serta koleksi bahan perpustakaan untuk membantu pembelajaran dan penyelidikan. Ianya telah dikendalikan oleh Unit Perkhidmatan Pelanggan yang diketuai oleh Cik Asmahani Abdullah.

Diharapkan perkongsian ilmu melalui lawatan berpandu yang seiring dengan Sustainable Development Goals (SDG) 4: Quality Education ini dapat memupuk minat para pelajar delegasi lawatan dari SMK Seberang Marang Terengganu untuk melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading. Selamat maju jaya daripada kami warga Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply