
29 Oktober 2025 | 7 Jamadil Awal 1447 H: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Negeri Selangor melalui Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) serta Fakulti Sains Maklumat UiTM telah menganjurkan Program Kepustakawanan dan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Negeri Selangor 2025 pada 28–29 Oktober 2025.
Seramai 50 guru Penyelaras Pusat Sumber Sekolah (PSS) terpilih dari seluruh Selangor telah menyertai program ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan PSS secara lebih profesional, inovatif dan selaras dengan keperluan pendidikan semasa.


Peserta telah mengikuti empat modul utama merangkumi Transformasi Digital: Pengurusan dan Perkhidmatan PSS, Literasi Maklumat untuk Pengajaran, Pembelajaran & Penyelidikan Guru, Asas Pengkatalogan serta Perancangan dan Reka Bentuk Perpustakaan yang disampaikan oleh penceramah berpengalaman dari PTAR dan Fakulti Sains Maklumat. Program turut memperkenalkan aktiviti Bacaan Pantas sebagai inisiatif menggalakkan budaya membaca yang lebih efektif.


Pihak PTAR berharap ilmu dan pendedahan yang diperoleh akan menjadi pemangkin kepada pengurusan PSS yang lebih berkesan, inklusif dan menyokong kecemerlangan pembelajaran pelajar. PTAR UCS turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama, penceramah dan peserta atas kejayaan penganjuran program ini.

