Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 7/2025 Anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah

Merbok, 14 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah telah meneruskan kesinambungan program pembangunan staf melalui penganjuran Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 7 yang berlangsung di Sudut IT, bermula jam 3.30 petang hingga 4.30 petang. Program ini diadakan bagi memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan staf perpustakaan, sekali gus memperkukuh profesionalisme dan kolaborasi di tempat kerja. Seramai 19 orang staf hadir bagi mengikuti dua sesi perkongsian menarik yang dikendalikan oleh wakil staf perpustakaan sendiri.

Sesi pertama disampaikan oleh Encik Hasrizal Md Hasan dengan tajuk “Kompetensi dalam Kerja Berpasukan”. Beliau menekankan kepentingan kemahiran sosial, komunikasi berkesan, tanggungjawab bersama, serta saling menghormati dalam membentuk pasukan kerja yang produktif dan harmoni. Antara aspek penting yang dibincangkan termasuk kerjasama, kepimpinan, dan kemahiran menyelesaikan konflik elemen yang perlu dikuasai bagi memastikan kejayaan organisasi.

Perkongsian dari Encik Hasrizal Md Hasan, Pembantu Pustakawan Kanan.

Sesi kedua pula dikendalikan oleh Encik Mohd Rostam Mohamad bertajuk “Tips & Tricks dalam Microsoft Word”. Beliau berkongsi pelbagai kemahiran praktikal seperti kaedah penataan teks, penggunaan garis, salinan format, terjemahan, dan perlindungan fail menggunakan kata laluan. Perkongsian ini memberi pendedahan berguna kepada staf dalam meningkatkan kecekapan dan profesionalisme kerja harian.

Perkongsian dari Encik Mohd Rostam Mohamad, Pembantu Pustakawan Kanan.

Secara keseluruhannya, Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 7 berjaya mencapai objektifnya sebagai platform untuk memperkukuh budaya perkongsian ilmu di Perpustakaan Sultan Badlishah. Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal staf, tetapi turut memupuk semangat kerja berpasukan dan keterlibatan profesional yang tinggi. Inisiatif seperti ini wajar diteruskan secara konsisten agar budaya pembelajaran berterusan menjadi sebahagian daripada DNA organisasi, seiring dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan warga kerja yang berilmu, inovatif, dan kompeten dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan moden.

Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply