Tarikh 28 Ogos 2025, Khamis
Masa 8.00 pagi – 11.00 pagi
Tempat Mula/Tamat: Tempat letak kereta hadapan Dewan Jasmin/Berhadapan Bangunan Perpustakaan,
Pengumuman Cabutan Bertuah di Sudut AZKA @ Library Community Engagement, Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun
Anjuran bersama: Perpustakaan Cendekiawan dan Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Terengganu
Penglibatan: 137 orang warga UiTMCT dan keluarga
Sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025 yang ke-68 tahun, Perpustakaan Cendekiawan dan Bahagian Pentadbiran telah mengadakan kerjasama menganjurkan UiTM Happiness Walk @Merdeka UiTM Cawangan Terengganu pada 28 Ogos 2025, Khamis.


UiTM Happiness Walk (UHW) ini merupakan sebuah program santai berunsurkan patriotisme dan gaya hidup sihat yang dijalankan serentak di seluruh UiTM. Program ini turut bertujuan menggalakkan penglibatan warga kampus dalam aktiviti riadah sambil memupuk semangat cintakan negara. Pelaksanaan program ini sejajar dengan usaha universiti dalam memupuk kesejahteraan mental dan fizikal di kalangan staf dan pelajar. Dilengkapi dengan aplikasi telefon pintar, laluan UHW ini telah mendapat persetujuan di peringkat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) UiTM bagi memastikan kelancaran program dan mencapai objektif program yang ditetapkan. Peserta perlu melengkapkan semua laluan yang ditetapkan untuk mendapatkan sijil penyertaan.
Dimulakan dengan taklimat ringkas daripada pihak penganjur dan senamrobik sebagai warming-up, para peserta kemudiannya memulakan larian selepas gimik perasmian dan flag-off program oleh YBrs. Ts. Dr.Ermeey Abdul Kadir, Rektor UiTM Cawangan Terengganu, yang turut sama menyertai sesi berjalan santai tersebut. Sambil membawa bendera dan berpakaian bertemakan kemerdekaan Malaysia, semua peserta dikumpulkan di setiap check-point untuk sama-sama melaungkan LAUNGAN MERDEKA sebanyak tiga kali, sebelum meneruskan perjalanan ke check-point seterusnya.



Bagi menambahkan lagi keceriaan dan ukhuwah dalam penganjuran program ini, turut diadakan sesi cabutan bertuah serta jamuan makan pagi secara potluck yang dibawa sendiri oleh kebanyakan peserta UiTM Hapiness Walk@Merdeka untuk dikongsikan bersama-sama.

Secara keseluruhannya, UiTM Happiness Walk @Merdeka 2025 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah turut menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga UiTM. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas untuk membina komuniti kampus yang sihat, bersatu dan berjiwa merdeka. Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan program UiTM Happiness Walk@Merdeka 2025 UiTM Terengganu.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Sumber Gambar: Facebook Lensa UiTM Terengganu
Disediakan oleh: Abdul Hadi bin Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.