Tarikh: 24 hingga 26 Jun 2025, Selasa hingga Khamis.
Masa: 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Anjuran: Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun dengan kerjasama rakan strategik dalam dan luar UiTMCT.
Penglibatan: 5, 439 orang pengunjung.
Sempena Sambutan 50 Tahun Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu (UiTMCT) 1975-2025, Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun telah mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Perpustakaan 2025 selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun 2025 (Selasa hingga Khamis) dengan mensasarkan warga kampus dan komuniti setempat. Di samping meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan kampus serta memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, karnival ini juga mengetengahkan pembelajaran sepanjang hayat, dan pemangkin budaya ilmu dalam kalangan warga UiTM dan komuniti setempat. Karnival ini juga menjadi platform merakyatkan universiti dengan penglibatan pelbagai agensi dalam dan luar UiTMCT serta memperkenalkan perkhidmatan dan sumber terkini perpustakaan kepada kumpulan sasar serta meningkatkan interaksi positif antara perpustakaan dan pengguna.
Berikut merupakan aktiviti yang telah diadakan bagi menjayakan Karnival Perpustakaan 2025 UiTMCT:
a) Pameran Jejak Memori UiTM Cawangan Terengganu (1975-2025)
b) Kuiz Teka Naskhah Buku
c) Kuiz UiTM Dihatiku
d) Program Jualan RAHMAH MADANI
e) Pertandingan Si Kecil Bercerita Prasekolah
f) Pertandingan Mewarna Prasekolah
g) Pertandingan Seni Khat Jawi Peringkat Sekolah
h) Pertandingan Debat Antara Fakulti UiTMCT – Piala Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik)
i) Program Jelajah Ilmu SULAM RISE: Read, Inspire, Seek & Explore
j) Bicara Kesihatan bersama Yakult
k) Bicara Sejarah [Eksklusif]: Menelurusi Sejarah Penubuhan ITM Terengganu-UiTM Cawangan Terengganu
l) Kempen Derma Darah
m) Program Mesra Perpustakaan bersama Pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
n) Reruai Pameran Maklumat daripada pelbagai agensi
o) Gerai Jualan & Foodtruck
p) Majlis Penutup Karnival Perpustakaan 2025 UiTMCT





Perancangan program yang telah dirancang sejak awal Mac 2025 telah berjalan dengan lancar walaupun pada masa yang sama telah berlangsung Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid UiTM Kampus Bukit Besi, Dungun oleh KDYMM Sultan Terengganu yang melibatkan sebahagian besar warga kampus UiTMCT pada waktu itu.
Karnival Perpustakaan, yang dijenamakan semula dari program Hari Mesra Pelanggan Perpustakaan, adalah merupakan program tahunan Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun sejak tahun 2023 dan ianya merupakan antara inisiatif penting universiti yang menghubungkan UiTMCT dengan komuniti. Setiap aktiviti yang dirancang telah disusun agar memberi manfaat kepada warga kampus dan komuniti, di samping mengambilkira aktiviti pembudayaan ilmu bersifat pendidikan yang lebih kreatif, interaktif dan inklusif dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi. Dengan sambutan dan maklumbalas yang positif daripada pihak pengurusan universiti, rakan kerjasama strategik dan pengunjung karnival ini, dapatlah disimpulkan bahawa program ini telah berjaya memberikan impak yang berpanjangan kepada warga universiti dan komuniti setempat, selaras dengan visi UiTM sebagai universiti unggul yang melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global.

Secara keseluruhannya, penganjuran Karnival Perpustakaan 2025 sempena 50 Tahun Penubuhan UiTM Terengganu merupakan satu inisiatif cemerlang berjaya menyemarakkan budaya ilmu dan memperkukuh peranan perpustakaan dalam ekosistem pembelajaran UiTM Terengganu, sejajar dengan sambutan 50 tahun penubuhan kampus keramat ini. Karnival ini bukan sekadar sambutan ulang tahun, tetapi merupakan manifestasi penghargaan terhadap peranan perpustakaan sebagai nadi ilmu dan pemangkin pembangunan intelektual sepanjang lima dekad penubuhan kampus ini. Kepercayaan dan kerjasama daripada semua pihak dan agensi dalam dan luar UiTMCT bagi menjayakan karnival ini merupakan suatu penghargaan yang amatlah dihargai. Semoga kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat.
__________________________________________________________________________________________
Majlis Penutup Karnival Perpustakaan 2025 UiTM Cawangan Terengganu disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Ermeey Abd Kadir, Rektor UiTMCT.






Disediakan oleh:
i) Cik Asmahani Abdullah, Timb. Ketua Pustakawan (M) (KUP)
ii) En. Abd Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan