Merbok, 17 Jun 2025 – Program Speaker’s Corner merupakan galakkan perkongsian ilmu oleh pelajar UiTM dalam memupuk budaya ilmu dan perkembangan pengetahuan melalui pengucapan awam ataupun dipanggil sebagai ‘public speaking’. Pelaksanaan program ini mensasarkan penyertaan kehadiran daripada pelbagai kategori iaitu staf UiTM, pelajar UiTM dan orang awam.






Program ini dirancang dengan objektif utama untuk memperkasakan individu dalam pelbagai aspek komunikasi awam. Pertama, program ini bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran komunikasi peserta di hadapan khalayak ramai, memastikan mereka dapat menyampaikan mesej dengan jelas dan berkesan. Kedua, ia menyediakan platform yang selamat dan menyokong bagi individu untuk mengatasi ketakutan berucap di khalayak ramai, seterusnya membina keyakinan diri yang teguh dalam melontarkan idea dan pandangan mereka. Akhir sekali, melalui sesi perkongsian yang berfaedah, program ini berusaha untuk membantu menyebarkan maklumat dan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat, memupuk budaya perkongsian ilmu yang berterusan dan bermanfaat.


Program Speaker’s Corner bersama pelajar dari Kelab Bachelor of Library Science (BliBS) UiTM Cawangan Kedah ini telah dilaksanakan pada 17 Jun 2025, Selasa dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Sultan Badlishah. Program ini diadakan secara fizikal dan secara maya yang disiarkan secara langsung melalui saluran Youtube rasmi perpustakaan. Kehadiran bagi program ini adalah sangat menggalakkan iaitu seramai 210 orang dari pelajar dan staf UiTM seluruh cawangan.
Penulis : Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi