Merbok, 11 Jun 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah, telah berjaya melaksanakan Program Kerjasama Pembudayaan Ilmu: Literasi Maklumat bersama Maktab Mahmud Merbok. Program ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025, khususnya dalam mencapai KPI 5, PI 8, serta indikator universiti berkaitan inisiatif literasi dan pembacaan.





Program ini memberi fokus kepada pemerkasaan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar, dengan objektif utama memberikan pendedahan tentang pencarian maklumat atas talian secara sahih dan berkesan. Ia juga menekankan keupayaan mengenal pasti, menilai dan menggunakan maklumat secara beretika, tepat dan menjimatkan masa.



Bengkel ini telah berlangsung pada hari Rabu, 11 Jun 2025 dari jam 8.00 hingga 10.00 pagi di Dewan Maktab Mahmud Merbok. Ia dikendalikan oleh Encik Omar Zainol (Pembantu Pustakawan Kanan) bersama pasukan sokongan iaitu Puan Wan Rohani Wan Chin, Puan Mazuriah Ahmad, Encik Zakaria Muhamad, serta pelajar praktikal Encik Abdul Muiz Fathin Ahmad Fadzil.
Seramai 172 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 telah menyertai bengkel ini. Program ini turut melibatkan guru-guru sekolah dan berjaya memberikan pendedahan yang bermanfaat dalam memperkukuh kaedah pencarian maklumat digital untuk tujuan akademik.
Penulis : Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan