Sungai Petani, 12 Jun 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah berjaya melaksanakan Program Kerjasama Pembudayaan Ilmu: Bengkel Literasi Maklumat bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Che Tom, Sungai Petani. Program ini merupakan inisiatif yang menyokong Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025, khususnya bagi mencapai Key Performance Index (KPI) 5 – Bilangan Penyertaan Program Budaya Ilmu, Performance Index (PI) 8 – Bilangan Penyertaan Komuniti Program Kolaborasi Perpustakaan, serta Performance Index Universiti – Number of Reading and Literacy Initiatives Conducted/Coordinated by PTAR UiTM.




Bengkel yang berlangsung pada hari Khamis, 12 Jun 2025 ini telah diadakan di Pusat Sumber SMK Che Tom dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi. Program pemindahan ilmu ini dikendalikan oleh Encik Omar Zainol, Pembantu Pustakawan Kanan dari Unit Perkhidmatan Perpustakaan sebagai penceramah utama, dengan dibantu oleh Puan Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan yang menyeluruh mengenai kaedah pencarian maklumat atas talian yang sahih dan relevan, terutamanya dalam mendapatkan bahan-bahan ilmiah. Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada kemahiran literasi maklumat iaitu keupayaan mengenal pasti, menilai dan menggunakan maklumat secara berkesan – satu kemahiran penting dalam dunia pembelajaran masa kini.



Seramai 46 orang pelajar terlibat dalam bengkel ini, terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) SMK Che Tom. Para pelajar dan guru yang hadir diberikan pendedahan secara praktikal mengenai kepentingan dan aplikasi pencarian maklumat digital dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran harian.
Hasil daripada penguasaan kemahiran literasi maklumat yang diperoleh, peserta dijangka dapat melaksanakan pencarian maklumat yang lebih tepat, efisien dan menjimatkan masa – sekaligus membantu mereka dalam menyiapkan tugasan akademik serta menjalankan penyelidikan dengan lebih berkesan.
Program ini menjadi satu lagi contoh kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah dalam memperkasa budaya ilmu dan literasi maklumat di peringkat akar umbi.
Penulis : Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan