


Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menempa nama apabila menerima pengiktirafan global daripada Emerald Publishing sempena Emerald Conference 2025 yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre pada 10 Jun 2025.
Perpustakaan UiTM telah dianugerahkan pencapaian cemerlang dalam kategori berikut:
1. Tempat Kedua – Top 20 Worldwide High Usage Award 2025, dengan mencatatkan 523,285 muat turun artikel dalam pangkalan data Emerald e-Journal bagi tahun 2024.
2. Tempat Pertama – Malaysia High Usage Award 2025, atas kejayaan mencatat 523,285 jumlah muat turun artikel sepanjang tahun 2024.
Manakala, RMC UiTM pula telah menerima anugerah tempat Keempat – Malaysia High Research Output Award 2025, hasil daripada 62 penerbitan artikel oleh 89 orang penyelidik UiTM.
Emerald Awards merupakan pengiktirafan antarabangsa yang diberikan oleh Emerald Publishing kepada institusi yang menunjukkan prestasi cemerlang dari segi penggunaan sumber elektronik dan penghasilan output penyelidikan dalam tempoh Januari hingga Disember setiap tahun.
Kejayaan ini mencerminkan peranan proaktif Perpustakaan UiTM dalam menyokong ekosistem ilmu dan penyelidikan universiti, selain memperkukuh reputasinya sebagai pusat sumber akademik setaraf dengan perpustakaan luar negara. Jabatan perpustakaan merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga akademik dan penyelidik UiTM atas sumbangan yang signifikan dalam penganugerahan ini.